PETALING JAYA: Polis akan meningkatkan pemantauan terhadap sebarang aktiviti tidak bermoral termasuk golongan LGBT dan penyalahgunaan dadah di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia susulan serbuan dilakukan pihaknya di sebuah hotel mewah di ibu negara yang membongkar kegiatan penyalahgunaan dadah serta penganjuran parti persendirian.
“Ingin ditegaskan, aktiviti LGBT adalah dilarang oleh kerajaan Malaysia apa lagi jika melibatkan penggunaan sebarang jenis dadah.
“Pihak polis terus memantau dan mengambil tindakan ke atas sebarang penganjuran aktiviti ini dan penyalahgunaan dadah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, siasatan mendapati seorang lelaki warga China yang dipercayai terlibat sebagai penganjur parti persendirian di sebuah hotel mewah di ibu negara melibatkan golongan gay baru-baru ini.
Katanya, pesta itu dipromosikan menerusi platform Instagram menggunakan akaun persendirian
“Siasatan turut mendapati dadah yang dirampas dipercayai digunakan untuk kegunaan sendiri oleh peserta yang menghadiri pesta berkenaan.
“Setakat ini, tiada unsur pengedaran dikenal pasti setakat ini. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan punca bekalan,” katanya.
Menurutnya, seramai 51 individu yang ditahan dalam serbuan sebuah pesta persendirian ini telah didakwa atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.
Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 17 individu telah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi didakwa mengikut Seksyen 39A(1) akta sama.
“Baki 33 individu pula telah dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kami masih menunggu laporan daripada hospital berhubung punca kematian seorang lelaki yang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semasa operasi tersebut,” katanya. – UTUSAN











