PASIR SALAK: Tiga beradik di Kampung Parit 8, Chikus di sini yang tidak bersekolah kerana miskin mendapat perhatian UMNO Bahagian Pasir Salak yang mengunjungi rumah tiga beradik itu untuk menyelesaikan masalah mereka.
Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Mohd Nazari Sabran berkata, pihaknya memandang serius isu kanak-kanak tidak bersekolah kerana pendidikan antara perkara penting yang sentiasa diberi perhatian kerajaan sejajar dengan Akta Pendidikan Negara.
Menurut beliau, pihaknya sudah memaklumkan kepada pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk membantu kanak-kanak tersebut.
“Jabatan Pendidikan boleh bekerjasama termasuk dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberikan kaunseling kepada kanak-kanak ini.
“Saya lihat isunya berpunca dari dalam keluarga atau masalah rumah tangga dan pendidikan agama Islam juga perlu berperanan untuk memberikan pengetahuan kepada mereka dan saya mahu tiga beradik masuk sekolah,” katanya.
Menurutnya, isu kanak-kanak tercicir sekolah adalah masalah yang sangat berat dan mereka perlu dibantu.
“Saya rasa sebak kerana tiga beradik ini berkata mereka mahu bersekolah seperti murid-murid yang lain,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenai tiga beradik masing-masing berusia tujuh, sembilan dan 12 tahun di Kampung Parit 8, Jalan Besar Chikus dekat sini tidak bersekolah kerana kemiskinan.
Mereka ialah Nurul Adawiyah Zaharon, 12, dan Mohamad Adam Zaharon, 9, tidak pernah bersekolah manakala Mohammad Safuan Azhar, 15, bersekolah setakat Tingkatan 1 sahaja.
Ibu mereka, Norhayati Yusop, 44, tidak mampu menyara persekolahan anaknya apatah lagi selepas suaminya masuk penjara Januari lalu.
Mereka hidup dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal. – UTUSAN










