
MEKAH: Selama lebih 20 tahun menunggu giliran selepas mendaftar haji, seorang pesara kerajaan akhirnya bersyukur apabila impian menjadi tetamu Allah tercapai pada usia 72 tahun, meskipun pernah tersilap menyangka simpanan sahaja sudah memadai tanpa perlu mendaftar.
Mohd. Daud Hamdan berkata, dia mula menyimpan wang di Tabung Haji sejak akhir 1970-an ketika masih dalam perkhidmatan awam selepas berdepan kesukaran hidup dan tekanan ekonomi dengan bekerja di kilang.
Katanya, pada waktu itu dia hanya mampu mencarum sedikit demi sedikit sekitar RM30 sebulan, namun tetap konsisten menyimpan demi hasrat menjadi tetamu Allah.
“Saya ingat bila sudah simpan duit dalam Tabung Haji, nama akan masuk automatik untuk giliran haji. Rupanya kena daftar berasingan.
“Bila anak tolong semak, saya terkejut sebab nama langsung tiada dalam senarai menunggu. Selepas itu, dalam sekitar 2005 barulah pak cik mendaftar untuk pergi haji,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Daud, kesedaran untuk mendaftar haji mula timbul selepas mendengar khutbah seorang guru agama ketika dia bertugas di Sabah.
“Arwah ustaz itu pesan dalam khutbah supaya orang ramai bukan sekadar menyimpan, tapi daftar haji sekali. Lepas dengar itu, terus saya pergi daftar. Lepas itu tunggu punya tunggu, Alhamdulillah tahun ini Allah jemput juga,” katanya.
Mohd. Daud berkata, walaupun perlu menunggu kira-kira 22 tahun selepas mendaftar, dia bersyukur masih diberikan kesihatan untuk hadir ke tanah suci.
“Umur sudah 72 tahun. Kita pun tidak tahu bila Allah hendak tarik nyawa. Jadi bila dapat peluang ini memang rasa syukur sangat,” katanya.
Bapa kepada empat anak itu berkata, pengalaman tersebut wajar dijadikan pengajaran terutama kepada golongan muda supaya membuat pendaftaran haji seawal mungkin.
“Jangan ingat simpan duit sahaja dah cukup. Kalau tak daftar awal, memang lambat giliran sebab sekarang tempoh menunggu panjang,” katanya. – UTUSAN








