MEKAH: Lebih 600 jemaah haji Malaysia memohon menyertai program Sahabat Maktab yang diwujudkan sebagai platform sukarelawan bagi membantu melancarkan operasi musim haji tahun ini.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, namun daripada jumlah itu hanya 180 individu dipilih melibatkan pelbagai latar belakang dengan lingkungan usia antara 18 hingga 51 tahun.
Katanya, kumpulan tersebut memainkan peranan penting dalam membantu petugas Tabung Haji (TH) menguruskan kebajikan serta pergerakan jemaah haji Malaysia sepanjang musim haji.
“Sambutan terhadap program ini sangat menggalakkan apabila setiap maktab menerima lebih 100 permohonan untuk menyertai Sahabat Maktab.
“Bagaimanapun, pemilihan dibuat berdasarkan tahap kesihatan dan kemampuan fizikal kerana mereka perlu bergerak aktif membantu jemaah,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra dan Pelancaran Sahabat Maktab di sini semalam.
Menurut Mohd. Hisham , pengalaman musim haji terdahulu membuktikan kehadiran Sahabat Maktab banyak membantu petugas TH terutama ketika operasi Masyair yang melibatkan pergerakan jemaah dalam jumlah besar.
“Jumlah petugas kita terhad sedangkan jemaah sangat ramai. Jadi kehadiran Sahabat Maktab amat membantu dan mereka melaksanakan tugas tanpa mengira waktu dan keadaan,” katanya.
Mohd. Hisham berkata, Sahabat Maktab dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Sahabat Hujaj, Sahabat Medik dan Sahabat Ibadat mengikut tugasan dan kepakaran masing-masing.
“Mereka membantu antaranya memastikan jemaah ditempatkan di kawasan dan maktab yang betul selain melancarkan urusan naik dan turun bas supaya semuanya berjalan lebih tersusun,” katanya.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Hairul Iswandy Kadai, 47, dan Maslinawati Mohamad antara yang terpanggil menyertai Sahabat Maktab bagi menyumbang tenaga dan khidmat kepada jemaah lain sepanjang berada di Tanah Suci.
Hairul Iswandy berkata, beliau percaya ibadat bukan hanya tertumpu kepada solat, mengaji atau berzikir semata-mata, sebaliknya turut merangkumi usaha membantu orang lain.
“Sejak zaman belajar lagi saya aktif berpersatuan dan terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat. Semangat itu masih ada sampai sekarang,” katanya.-UTUSAN










