PETALING JAYA: Keputusan untuk tidak kembali ‘berdamai’ dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan berpunca daripada soal jawatan atau perasaan merajuk, sebaliknya disebabkan hilangnya prinsip keadilan dalam parti berkenaan.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli berkata, keputusan itu telah dibuat kira-kira dua bulan sebelum Pemilihan PKR 2025 berlangsung, selepas melihat hala tuju dan corak percaturan dalaman parti.
Mohd. Rafizi mendakwa, beliau mula memahami permainan politik itu, dua minggu selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan supaya diberikan laluan mudah kepadanya.
Dakwanya, mesej sebenar ialah beliau tidak lagi dikehendaki mempunyai pengaruh dalam parti dan hanya diminta berperanan sebagai teknokrat tanpa kuasa sebenar dalam kepemimpinan.
“Maksudnya duduk seorang diri dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), jadi ‘rubber stamp’, depan cakap lain, belakang cakap lain, buat lain dan umum lain.
“Saya tidak masuk politik untuk menang, tidak masuk untuk jadi menteri, tidak masuk untuk pangkat. Saya masuk politik sebab saya rasa ada peranan untuk membetulkan kerajaan.
“Dan bila parti itu sendiri sudah sampai ke peringkat menipu anggota sendiri?,” dakwanya dalam audio siar yang diterbitkan malam tadi.
Mohd. Rafizi berkata, penglibatannya dalam politik bukan untuk mengejar kemenangan, jawatan menteri atau pangkat, sebaliknya mahu memainkan peranan membetulkan keadaan negara dan parti.
Beliau mendakwa, PKR telah rosak apabila wujud pelbagai isu termasuk dakwaan penipuan terhadap anggota sendiri, yuran keahlian baharu sebanyak RM200, laporan polis berkaitan rasuah serta campur tangan pihak tertentu dalam jentera parti.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut membangkitkan isu sistem pengundian parti termasuk dakwaan penggunaan ‘blockchain’, fenomena kepala tanpa badan dan perubahan daripada sistem ‘satu ahli satu undi’ kepada sistem perwakilan.
“Bila sesebuah parti dah hilang benda paling asas iaitu prinsip keadilan (sense of justice), parti itu dah rosak.
“Mencuri boleh, menipu boleh, salah guna kuasa boleh. Dah tak perlu tanya betul atau salah,” dakwanya. – UTUSAN










