PETALING JAYA : Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah menumpaskan 55 kes penyeludupan migran hasil 38 serbuan yang dijalankan dari 1 Januari hingga 11 Mei lalu.
Sepanjang tempoh itu, seramai 335 migran ditahan membabitkan 237 lelaki, wanita (68) dan kanak-kanak lelaki (dua).
Turut ditahan 37 individu dipercayai berperanan sebagai tekong darat dan tekong laut.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, serbuan turut membawa kepada rampasan 20 buah kereta, tiga buah bot dan 57 unit telefon bimbit selain lain-lain barangan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.6 juta.
“Semua tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Akta Imigresen 1959 dan 1963,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Hakemal berkata, sepanjang tempoh sama, sebanyak 159 serbuan dijalankan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah meliputi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Katanya, dalam operasi berkenaan 551 individu ditahan selain pelbagai jenis rampasan melibatkan nilai keseluruhan RM242 juta.
“Pihak polis melalui Pasukan Gerakan Am akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab menjaga keselamatan negara serta ketenteraman awam secara profesional demi kesejahteraan rakyat.
“Orang ramai juga diharap dapat menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan migran bagi memastikan negara tidak dicerobohi mana-mana elemen yang melanggar undang-undang,” katanya. – UTUSAN










