KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mendedahkan aktiviti perlombongan haram emas di negeri ini masih terkawal dan hanya aktif pada hari cuti melibatkan kawasan-kawasan tertentu sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, ia hasil penguatkuasaan serta pemantauan berterusan yang dilaksanakan kerajaan negeri bersama agensi berkaitan dalam membendung kegiatan haram tersebut.
“Biasanya mereka membuat kerja melombong secara haram ketika cuti dan mereka lebih tahu jadual bila operasi serta penguatkuasaan dilakukan.
“Setakat ini, pasukan pemantauan khas telah membuat banyak tangkapan dan menyita jentera yang dikesan melakukan aktiviti melombong secara haram,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kelstone Cosmos Lab di Tunjong, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hilmi memberitahu, kerajaan negeri turut mengambil pendekatan proaktif dengan memperkenalkan lesen mendulang sebagai alternatif kepada penduduk tempatan bagi memastikan aktiviti perlombongan dilakukan secara sah, selamat dan mengikut prosedur ditetapkan.
Katanya, proses mendapatkan lesen perlombongan melibatkan beberapa peringkat termasuk lesen cari gali bagi mengenal pasti kewujudan mineral di sesuatu kawasan.
“Aktiviti melombong ini ada kaedah-kaedahnya bagi mengelak berlaku insiden yang tidak diingini dan sebab itu pemegang lesen mendulang akan diberikan kursus serta penerangan berkaitan kaedah melombong yang betul.
“Permohonan lesen juga memerlukan beberapa proses dan setiap peringkat mempunyai bayaran tertentu tetapi bayarannya tidak terlalu tinggi. Tanah yang diluluskan juga akan ditukar syarat daripada pertanian kepada perlombongan mengikut prosedur ditetapkan,” ujarnya.
Utusan Malaysia 21 Mei lalu melaporkan, dua lelaki yang ditemukan maut akibat tertimbus ketika melombong emas di kawasan ladang sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah di sini, semalam dipercayai melakukan aktiviti itu tanpa lesen.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, maklumat tersebut hasil siasatan yang mendapati kedua-dua mangsa berusia 32 tahun dan 38 tahun melakukan kerja melombong emas di lokasi tersebut tanpa lesen. – UTUSAN










