SUNGAI PETANI: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian letupan tong gas helium di tapak ekspo berhampiran SP Plaza di sini, malam ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 7.50 malam itu, mangsa, Azmi Ahmad, 42, yang merupakan peniaga minuman meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di perut serta putus sebelah tangan.
Mangsa maut dipercayai terkena serpihan tong gas tersebut yang diletakkan di tepi tandas sejauh kira-kira 200 meter.
Tiga lagi mangsa lelaki yang cedera berusia 16, 36 dan 49 tahun.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.52 malam tadi.
“Letupan tersebut melibatkan satu unit tong gas helium yang digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak bagi tujuan perniagaan. Kejadian mengakibatkan seorang lelaki maut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, peniaga makanan ringan, Rahim Ramli berkata, dia terkejut mendengar bunyi letupan kuat sebelum melihat seorang mangsa cedera parah pada bahagian perut dan tangan.
“Memang tak sangka letupan tong gas helium itu boleh mengakibatkan kematian di tapak jualan ini,” ujarnya. – UTUSAN










