Lelaki melecur 50 peratus letupan gas memasak di Alor Gajah

Lelaki melecur 50 peratus letupan gas memasak di Alor Gajah

Keadaan dapur milik seorang penyewa bersepah akibat kejadian letupan gas memasak di sebuah rumah di Taman Baiduri, Kuala Ina, Melaka. - FOTO IHSAN JBPM MELAKA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang lelaki melecur kira-kira 50 peratus pada anggota badan selepas dipercayai terlibat dalam satu kejadian letupan gas memasak di sebuah rumah di Taman Baiduri, Kuala Ina di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Mohamad Edham Zul, 29, yang merupakan penyewa rumah berkenaan baru pulang dari kampungnya di Pahang sebelum menyedari terdapat bunyi yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas di dalam rumah.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, mangsa kemudian membuat pemeriksaan terhadap tong gas memasak sebelum berlaku satu letupan secara tiba-tiba di bahagian dapur rumah.

“Akibat letupan tersebut, mangsa mengalami kecederaan melecur dianggarkan 50 peratus pada anggota badan dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) JBPM sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tampin untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, letupan itu turut menyebabkan kerosakan serius pada bahagian bumbung rumah selain menjejaskan struktur bangunan termasuk pintu, tingkap, siling dan sistem pendawaian elektrik.

“Turut rosak ialah pelbagai peralatan serta kelengkapan rumah terutama di bahagian dapur. Pemeriksaan mendapati terdapat kesan jelaga dan haba yang ketara di kawasan dapur yang dipercayai menjadi lokasi utama letupan,” ujarnya.

Tambah Zulkhairani, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah telah menjalankan operasi pemantauan dan pemeriksaan keselamatan bagi memastikan tiada risiko kebocoran gas susulan di lokasi kejadian.

Katanya, pihak bomba juga telah memaklumkan kejadian tersebut kepada Ahli Majlis dan wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) kawasan bagi tujuan bantuan kebajikan kepada mangsa.

“Punca kejadian dipercayai akibat kebocoran gas petroleum cecair (LPG) yang terkumpul di dalam rumah sebelum berlaku letupan ketika mangsa membuat pemeriksaan,” ujarnya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN