PUCHONG: Suasana Hari Raya Aidiladha tahun ini disambut suram bagi mangsa tragedi letupan paip gas di Kampung Kuala Sungai Baru di sini yang hilang kediaman akibat bencana itu.
Kemeriahan Aidiladha yang biasanya diraikan dengan takbir, juadah dan kunjungan sanak-saudara kini bertukar menjadi suasana penuh kesedihan buat mereka yang masih trauma dengan kejadian tersebut.
Mohd. Radzi Mohd. Rashid, 43, berkata, Aidiladha kali ini tidak seperti tahun-tahun sebelum ini malah sepi tanpa persiapan tradisi seperti biasa.
“Selalunya malam raya emak akan suruh kami sediakan kelengkapan korban, masak rendang dan kemas rumah. Tetapi tahun ini, rumah pun sudah tiada. Dulu, emak paling sibuk buat persiapan. Kini, dia hanya termenung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Radzi yang sebelum ini menetap di Lot 5 Kampung Kuala Sungai Baru kini menyewa di Lot 43 kampung sama juga hilang sumber pendapatan tetap selepas bas sekolah diusahakan musnah dalam kejadian April lalu.
“Saya bersyukur masih hidup, tetapi hati ini pedih apabila kenangkan nasib kami, terutama keadaan emak yang trauma,” katanya.
Sementara itu, Zainuddin Abdul Halim, 60, berkata, Aidiladha yang biasanya diraikan dengan semangat pengorbanan kini memberi makna baharu kerana dia juga mangsa letupan itu.
“Sehingga kini kami sekeluarga masih menerima rawatan susulan di Hospital Putrajaya, ada ahli keluarga yang mengikuti sesi kaunseling bagi menstabilkan emosi yang masih terganggu. Kami sambut raya dalam kekurangan, tetapi alhamdulillah rakan-rakan datang memberi sokongan,” katanya.
Kesemua mereka hadir dalam program Ibadah Qurban Mangsa Letupan Gas kampung itu yang dilangsungkan di rumah salah seorang penduduk kampung. Program itu melibatkan penyembelihan dua ekor lembu, seekor kerbau dan tiga kambing untuk diagihkan kepada mangsa.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Baharuddin Yusuf berkata, program gotong-royong anjuran pertubuhan dan Masjid Nurul Iman itu bertujuan mengagihkan daging korban kepada keluarga terjejas sebagai tanda simpati dan perpaduan berterusan. – UTUSAN










