PETALING JAYA: Maybank mengumumkan inisiatif pembiayaan baharu bernilai RM1 bilion yang direka khas untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi peningkatan kos serta tekanan aliran tunai.
Melalui program ini, proses kelulusan dipercepatkan dengan dana boleh disalurkan dalam tempoh sehingga 48 jam, membolehkan perniagaan mendapatkan akses kepada pembiayaan dengan lebih cepat dan mudah.
Maybank berkata, inisiatif ini menyasarkan PKS yang berkelayakan dengan had pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap perniagaan, serta menawarkan penangguhan bayaran prinsipal selama enam bulan untuk meringankan beban kewangan jangka pendek.
“Ciri utama program ini ialah proses penilaian kredit yang diperkemas menggunakan pendekatan pantas (fast-track), berdasarkan data transaksi dan hubungan perbankan sedia ada dengan Maybank.
“Ini membolehkan kelulusan dibuat lebih cepat tanpa menjejaskan disiplin kredit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, program ini tersedia kepada pelanggan PKS Maybank merentasi pelbagai sektor terjejas oleh keadaan ekonomi semasa, termasuk logistik, borong dan runcit, pembinaan, makanan dan minuman, serta sektor industri lain seperti pertanian, perabot, jentera dan perkhidmatan kurier.
“PKS daripada sektor lain juga boleh memohon tertakluk kepada penilaian,” katanya.
Maybank berkata, akses kepada pembiayaan yang cepat dan efisien adalah penting dalam keadaan perniagaan yang semakin mencabar, dengan kos meningkat dan aliran tunai yang lebih ketat.
“Kami terus mengutamakan sokongan kepada PKS melalui pendekatan ekosistem yang lebih menyeluruh, termasuk nasihat kewangan, perkongsian rangkaian, serta sokongan perniagaan.
“Program ini juga sejajar dengan komitmen Maybank untuk menyokong pertumbuhan PKS di Malaysia dan membantu mereka kekal berdaya tahan dalam persekitaran ekonomi semasa,” katanya. – UTUSAN










