BALIK PULAU: Penternak tempatan berdepan isu tempahan lembu yang merosot untuk ibadah korban tahun ini dengan kemasukan lembu import dari Thailand didakwa antara menjadi punca utama.
Seorang penternak lembu di Sungai Rusa di sini, Muhammad Khairul Hafizi Hamzah, 38, berkata, dia mengalami kemerosotan tempahan sehingga 30 peratus berbanding tahun lalu malah pembelian lembu secara dalam talian juga didakwanya sebagai punca kemerosotan.
“Tempahan memang berkurang kira-kira 25 ekor berbanding 40 ekor pada tahun sebelumnya. Memang situasi sekarang amat sukar kerana penternak berdepan pelbagai tekanan termasuk kos yang meningkat manakala tempahan lembu korban pula merosot,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, setakat ini, jumlah tempahan tahun ini hanya 25 ekor berbanding 40 ekor tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, katanya, harga lembu korban masih pada tahap stabil tanpa peningkatan ketara iaitu sekitar RM3,500 hingga RM3,800 seekor bergantung saiz dan berat.
Tambah beliau, bagi lembu bersaiz besar harga boleh mencecah sehingga RM20,000 seekor, namun lembu tersebut tidak banyak dijual kerana bekalannya agak terhad.
Jelas Khairul Hafizi, penternak turut berdepan cabaran peningkatan kos makanan ternakan yang semakin tinggi malah bekalan makanan seperti pelet kadangkala sukar diperoleh.
“Bekalan pelet kerap habis dan kita perlu tunggu kira-kira seminggu pula untuk bekalan sampai tetapi lembu perlu makanan setiap hari,” katanya.- UTUSAN










