KUALA LUMPUR: Meneruskan `tradisi’ mengorbankan lembu sado sempena Hari Raya Aidiladha, Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn. Bhd. (ikhlas.com) menyumbang lebih banyak lembu jenis itu pada sambutan tahun ini.
Berbanding tahun lalu yang mana hanya dua ekor lembu sado disumbangkan, Korban Perdana ikhlas.com tahun ini mengorbankan sembilan ekor lembu sado masing-masing dianggarkan seberat satu tan dan diagihkan kepada lapan buah masjid dan surau.
Masjid dan surau terlibat ialah Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Masjid Pulau Meranti Puchong, Surau Nurul Ikhlas Seri Kembangan, Masjid Mahmoodiah Putrajaya, Surau An-Nur Seri Kembangan, Masjid Nurul Iman Tanjong Karang dan Surau Qardul Hassan Sungai Buloh.
Dengan pertambahan itu, lebih 4,200 keluarga golongan asnaf setempat akan menerima manfaat hasil penyertaan pelanggan korporat pada tahun ini dalam program yang akan mengambil masa empat hari.
Selain daging korban, sebanyak 1,000 bakul makanan turut diberikan kepada penerima terpilih.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin ketika ditemui di Masjid Nurul Islam berkata, pertumbuhan penyertaan korporat menjadi pendorong utama kepada perluasan program pada tahun ini.
“Peningkatan sokongan daripada pelanggan korporat membolehkan kami melaksanakan korban pada skala yang lebih besar sekali gus membolehkan lebih ramai asnaf dapat menerima manfaatnya.
“Sebagai nilai tambah kepada rakan masjid, ikhlas.com turut memperkenalkan inisiatif baharu iaitu dengan setiap pembelian 10 ekor lembu korban, seekor lembu sado akan diberikan secara percuma.
“Model pelaksanaan ini bukan sahaja memudahkan ibadah korban tetapi turut mengoptimumkan impak agihan melalui kerjasama strategik bersama masjid dan komuniti setempat,” katanya.
Tambah belia, pihaknya menyasarkan untuk menambah pemberian sumbangan lembu sado sebanyak dua atau tiga kali ganda.
Program Korban Perdana ikhlas.com 2026 turut dijayakan bersama Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dan dengan kerjasama platform digital TheNoor bagi agihan tambahan di sekitar Subang dan Shah Alam.
Korban Perdana merupakan inisiatif tahunan ikhlas.com yang menghimpunkan rakan korporat, sukarelawan dan komuniti setempat dalam satu ekosistem pelaksanaan ibadah korban yang lebih tersusun, telus dan berimpak tinggi. – UTUSAN










