PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di beberapa kawasan perairan negara, hari ini.
Amaran yang dikeluarkan pukul 9 pagi itu melibatkan perairan Sarawak, Phuket, Selat Melaka Utara, barat daya Samui, selatan Tioman, barat Bunguran, selatan Reef North, Reef South dan Sulu.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di perairan Sarawak sehingga pukul 1 tengah hari ini.
“Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi perkapalan, angin kencang barat berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Phuket dan Selat Melaka Utara sehingga Selasa ini.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.
Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut dijangka berlaku di perairan Phuket, barat daya Samui, selatan Tioman, barat Bunguran, selatan Reef North, Reef South dan Sulu sehingga pukul 1 tengah hari ini.
“Pengusaha bot kecil, nelayan dan orang ramai dinasihatkan menangguhkan aktiviti laut di kawasan terlibat sehingga keadaan kembali selamat,” katanya. – UTUSAN







