PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga di beberapa kawasan perairan negara dan serantau sehingga Rabu ini, yang membahayakan semua aktiviti pantai, perkapalan serta operasi pelantar minyak.
Met Malaysia berkata, kawasan perairan timur laut Reef North dan Palawan dijangka mengalami angin barat daya melebihi 60 kilometer sejam (km/j) dengan ombak melebihi 4.5 meter.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Met Malaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan utara Phuket, barat laut dan tenggara Reef North, Layang-Layang, Labuan serta Sulu.
“Kawasan tersebut dijangka mengalami angin barat daya berkelajuan 50 hingga 60km/j dengan ombak sehingga 4.5 meter yang berbahaya kepada aktiviti perkapalan, menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya.
Sementara itu, amaran kategori pertama turut dikeluarkan melibatkan perairan selatan Phuket, Selat Melaka Utara, utara Samui, Condore, barat daya Reef North dan utara Reef South.
Met Malaysia berkata, kawasan berkenaan dijangka mengalami angin berkelajuan 40 hingga 50km/j dengan ombak setinggi sehingga 3.5 meter yang berbahaya kepada bot kecil serta aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, utara Sarawak, barat Sabah dan Labuan sehingga pukul 2 petang ini.
Amaran ribut petir sama turut melibatkan kawasan perairan Phuket, Selat Melaka Utara, Samui, utara Tioman, Condore, Reef North, Utara Reef South, Layang-Layang, Labuan, Palawan dan Sulu.
“Keadaan cuaca berkenaan boleh menyebabkan angin mencecah 50 km/j dengan ombak setinggi sehingga 3.5 meter, sekali gus membahayakan bot-bot kecil,” katanya. – UTUSAN








