PETALING JAYA: Kemelut politik Negeri Sembilan berjaya diurus dengan baik selepas perbincangan antara pimpinan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hasil pertemuan tersebut sekali gus menyaksikan kerjasama antara parti itu kekal dalam memastikan kestabilan pentadbiran negeri.
Katanya, Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan juga akan terus ditadbir seperti biasa di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan kekal stabil dan pentadbiran berjalan seperti biasa di bawah Aminuddin
“Sebarang isu berbangkit akan dirujuk kepada pimpinan utama antara parti-parti komponen bagi memastikan penyelesaian dapat dicapai secara bersama,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama politik di Negeri Sembilan bagi menjamin kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat di negeri berkenaan.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat dipengerusikan secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam. – UTUSAN










