Jumlah warga emas tinggal sendirian meningkat bukti perlu reformasi sokongan komunit - Utusan Malaysia

Jumlah warga emas tinggal sendirian meningkat bukti perlu reformasi sokongan komunit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG : Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Institut Penyelidikan Penuaan (MyAgeing) mengambil maklum kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berhubung peningkatan ketara bilangan warga emas yang tinggal bersendirian di Malaysia, seperti dilaporkan dalam dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025.

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata perkembangan ini bukan sekadar perubahan gaya hidup, sebaliknya mencerminkan peralihan struktur sosial yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan, keselamatan dan kualiti hidup warga emas.

“Apabila semakin ramai warga emas tinggal bersendirian, kita tidak boleh lagi melihat penjagaan mereka sebagai tanggungjawab keluarga semata-mata. Realitinya, perubahan demografi dan tekanan ekonomi hari ini menuntut pendekatan baharu yang lebih menyeluruh dan berasaskan komuniti,” katanya.

Menurut beliau, data semasa menunjukkan peningkatan ketara warga emas yang hidup bersendirian atau hanya bersama pasangan, didorong oleh faktor seperti saiz keluarga yang semakin kecil, penghijrahan generasi muda ke bandar, serta perubahan keupayaan ekonomi isi rumah.

Sementara itu, Pengarah MyAgeing, Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim, berkata bahawa situasi tersebut i turut mendedahkan warga emas kepada pelbagai risiko yang memerlukan perhatian segera.

“Situasi ini membawa risiko pelbagai dimensi, termasuk kelewatan mendapatkan rawatan kesihatan, isu keselamatan dalam situasi kecemasan tanpa pemantauan, serta cabaran psikososial seperti isolasi dan kemurungan yang tidak dikesan.

“Dalam konteks ini, kebergantungan sepenuhnya kepada institusi keluarga sebagai sistem penjagaan utama tidak lagi mencukupi,” jelas beliau.

Sehubungan itu, UPM melalui MyAgeing menekankan keperluan tindakan strategik yang lebih tersusun dan berimpak, antaranya memperkukuh sistem sokongan berasaskan rumah dan komuniti dengan penglibatan aktif jiran, sukarelawan serta pusat aktiviti warga emas sebagai rangkaian sokongan harian.

Selain itu, mekanisme pengesanan awal bagi warga emas berisiko perlu diperkasa melalui integrasi data antara agensi dan kerjasama pelbagai pihak termasuk komuniti setempat, fasiliti kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan institusi keagamaan.

Ahmad Farhan Naib Canselor turut menambah bahawa cabaran akses perkhidmatan, termasuk kekangan pengangkutan yang dibangkitkan dalam dapatan NHMS 2025, perlu diberi perhatian serius kerana menjejaskan keupayaan warga emas mendapatkan rawatan secara konsisten.

Tambah beliau, penyediaan perkhidmatan kesihatan bergerak, pengangkutan komuniti serta program outreach di kawasan luar bandar perlu diperluas bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada akses penjagaan kesihatan.

Pada masa sama, isu penuaan wajar diangkat sebagai agenda dasar merentas sektor yang melibatkan penyelarasan antara bidang kesihatan, kebajikan, perumahan, pengangkutan dan pembangunan komuniti, selaras dengan konsep bandar dan komuniti mesra usia.

Malaysia dijangka mencapai status negara menua dalam dekad akan datang. Justeru, fenomena peningkatan warga emas tinggal bersendirian perlu dilihat sebagai petunjuk awal kepada keperluan membangunkan sistem penjagaan jangka panjang yang lebih inklusif, mampan dan responsif terhadap realiti semasa.

“UPM komited untuk terus menyumbang melalui penyelidikan, sokongan dasar dan intervensi komuniti bagi memastikan setiap rakyat Malaysia dapat melalui proses penuaan secara bermaruah dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN