Gamelan pupuk nilai dalam sistem pendidikan

Gamelan pupuk nilai dalam sistem pendidikan

Tempat ke-3 Anugerah emas diraih oleh Kumpulan Walinong Sari daripada SMS Sultan Iskandar, pada Pertandingan Muzik Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2026 di Johor Bahru, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Persembahan gamelan membawa pengertian mendalam mengenai simbol kesepaduan, keselarasan dan keharmonian yang hanya dicapai menerusi disiplin serta kerjasama.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Tuan Aznan Tamin berkata, aktiviti gamelan di peringkat sekolah turut selaras dengan aspirasi pendidikan negara kerana nilai dalam muzik tradisional Melayu itu mampu membentuk diri murid secara holistik yang meliputi intelek, emosi, rohani mahu pun sosial.

Katanya, irama gamelan adalah simbol kesepaduan kerana tiada satu alat yang mendominasi secara mutlak dan setiap pemain memainkan peranan tersendiri manakala keselarasan dan keharmonian muzik hanya tercapai melalui disiplin serta kerjasama.

Beliau berkata demikian dalam majlis penutup Pertandingan Muzik Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2026 di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, JohorBahru , baru-baru ini.

Penganjuran pertandingan ini bertepatan hasrat kerajaan melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang akademik malah kaya dengan nilai budaya, beridentiti nasional dan mempunyai jiwa seni yang tinggi.

“Program ini menjadi wadah penting memartabatkan seni warisan Melayu, memupuk apresiasi terhadap nilai estetika, mengasah bakat dan potensi murid serta membina sahsiah dan jati diri generasi masa depan,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid dan Kepemimpinan, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) Kementerian Pendidikan Roslina Abd Aziz; Pengetua Sekolah Tun Fatimah (STF), Radziah Mohd Din; serta Focal Person Penggerak Ibu Bapa (PIBG), Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Datuk Yahya Jaafar yang juga Yang Dipertua PIBG STF.

Radziah Mohd Din

STF menjadi pengelola pertandingan berkenaan dengan sokongan Yayasan Warisan Johor selaku Rakan Strategik. Sebanyak 45 SBP menyertai pertandingan di peringkat saringan bagi mencari 12 kumpulan terbaik untuk bertanding pusingan akhir.

Terdahulu Pengetua STF berkata, pertandingan itu adalah inisiatif yang sangat bermakna dalam membina benteng mempertahankan jati diri, warisan dan identiti Bangsa Melayu.

Radziah melihat pencapaian dan penguasaan peserta pertandingan itu membuktikan generasi muda bukan sahaja mampu menguasai ilmu akademik malah turut cemerlang dalam bidang kesenian dan kebudayaan.

“Anda adalah pewaris, penjaga dan penerus warisan bangsa ini,” katanya.

Beliau menambah, kejayaan penganjuran pertandingan ini membuktikan kolaborasi dan komitmen semua pihak mampu melahirkan satu acara berimpak tinggi bukan sahaja dalam bidang kesenian malah pembinaan sahsiah dan jati diri murid.

“Marilah kita sama-sama memikul tanggungjawab ini bagi memastikan seni gamelan terus hidup bukan sekadar persembahan tetapi nadi budaya yang mengalir dalam jiwa masyarakat kita,” katanya.

Pertandingan berkenaan menyaksikan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang muncul juara Anugerah Emas Dengan Kepujian.

Kumpulan Gema Gamelan Wakafan (GEMAWAN) itu menerima piala dan sijil yang disampaikan Tuan Aznan.

Kumpulan ini turut memenangi Anugerah Pemain Keromong Terbaik, Anugerah Busana Terbaik dan Anugerah Persembahan Keseluruhan Terbaik.

Dalam pertandingan tersebut GEMAWAN mempersembahkan lagu ‘Kilas Dayung’ (tradisional) dan zapin Adi Warna (kontemporari).

KISAS sudah muncul sembilan kali juara sejak pertandingan berkenaan dianjurkan pada 2011.

Pemenang ke-2 Anugerah Emas ialah kumpulan Gemasari STF yang mempersembahkan lagu ‘Ketawang’ (tradisional) dan ‘Alun Daksina’ (kontemporari).

 

 

Kumpulan berkenaan turut memenangi Anugerah Persembahan Lagu Tradisional Terbaik dan Anugerah Pemain Gambang Terbaik sekali gus melonjakkan kedudukan STF dari tempat ke-6 tahun lalu ke tempat ke-2 tahun ini.

Tempat ke-3 Anugerah Emas ialah Kumpulan Walinong Sari daripada Sekolah Menengah Sains (SMS) Sultan Iskandar, Mersing.

Pasukan berkenaan turut meraih Anugerah Balungan Terbaik dan Anugerah Pergendangan Terbaik.

Pasukan tersebut mempersembahkan lagu ‘Lambang Sari’ (tradisional) dan ‘Kuda Ritma’ (kontemporari).-UTUSAN

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Keputusan Pertandingan Muzik Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2026 ialah:

1. Kolej Islam
Sultan Alam Shah:
Gema Gamelan Wakafan (GEMAWAN)
2. Sekolah Tun Fatimah: Gemasari
3. SMS Sultan Iskandar: Walinong Sari
4. SM Sultan Abdul Halim: Gamushah
5. Sekolah Sultan
Alam Shah:
Gamelan Putra Sekolah Sultan Alam Shah (GATRASAS)
6. Sekolah Seri Puteri:
Alunan Puteri
7. SM Sains Selangor: GERISMA
8. SMS Kepala Batas: Gemaloka
9. SMS Tapah:
Gema Sakti
10. SBPI Tun Abdul Razak: Irama Kencana
11. SBPI Gombak:
Mersik Kirana
12. SMS Kota Tinggi:
Ga’ong

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN