Diskaun 50 peratus faedah pinjaman untuk pesawah

Diskaun 50 peratus faedah pinjaman untuk pesawah

MOHAMAD Sabu (tengah) pada Majlis Peluncuran Road To MAHA 2026 Peringkat Zon Utara di Alor Setar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Agrobank bersetuju memberikan diskaun 50 peratus ke atas kadar keuntungan bagi pinjaman modal kepada pesawah untuk memulakan tanaman padi bagi musim akan datang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap cabaran modal yang dihadapi golongan pesawah dalam memastikan kelangsungan pengeluaran sektor agromakanan negara.

“Maka sukacita saya umumkan, pihak Agrobank ada menyediakan pakej pinjaman modal kepada pesawah dan bersetuju untuk memberikan diskaun 50 peratus ke atas kadar keuntungan bagi pinjaman ini.

“Kerajaan sentiasa cari jalan untuk membantu menggerakkan hal penyediaan makanan termasuk sayuran, ikan, daging dan sebagainya supaya terjaga. Kita akan ikhtiar membantu mereka melalui jalan sukar ini bagi memastikan kestabilan khasnya keupayaan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Road To Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 Peringkat Zon Utara, di sini hari ini.

Mohamad berkata, MAHA 2026 akan berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bermula dari 28 Ogos hingga 6 September depan dengan mengambil kira langkah penjimatan ekoran krisis global dihadapi sekarang.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kadar yang dikenakan sehingga empat peratus sebelum ini akan dikurangkan kepada dua peratus mengikut kadar pinjaman dibuat.

“Jumlah pinjaman yang ditawarkan adalah sehingga RM50,000 tapi kebanyakan pesawah hanya mengambil sekitar RM7,000 hingga RM10,000 sahaja untuk keluasan tiga hektar sawah padi.

“Jadi untuk mengelak pesawah kekurangan modal untuk memulakan penanaman padi, mereka boleh mengambil pinjaman daripada Agrobank dengan selayaknya dan bayaran balik selepas musim menuai,” ujarnya.

Penganjuran Road to MAHA 2026 Zon Utara bertujuan mendekatkan aspirasi dan pengisian program itu kepada masyarakat khususnya komuniti peladang, usahawan, golongan belia serta pengunjung.

Program ini juga menjadi platform bagi memperluas kesedaran mengenai potensi sektor agromakanan negara serta peranan pertanian sebagai antara sektor penting dalam menjamin keterjaminan makanan negara. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN