PETALING JAYA: Kos pengajian warga kerja Agrobank yang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana atau doktor falsafah (PhD) akan ditanggung sebanyak 50 peratus oleh Agrobank mulai tahun ini menerusi program Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualification (APEL Q).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program itu mencerminkan komitmen bank untuk memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dan memberi peluang kepada warga kerja berpengalaman meningkatkan kelayakan akademik dan kompetensi profesional.
“APEL menyediakan laluan alternatif kepada warga kerja untuk memperoleh kelayakan akademik dengan mengiktiraf pengetahuan dan kompetensi yang dibangunkan melalui pengalaman bekerja.
“Pendekatan ini membolehkan mereka memanfaatkan pengalaman profesional sebagai asas untuk melanjutkan pengajian dan memperkukuh keupayaan dalam bidang masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahmad Badli, inisiatif itu seiring dengan usaha kerajaan memperkasa pembangunan kerjaya penjawat awam menerusi APEL Q, yang menanggung 50 peratus kos pengajian pada peringkat sarjana dan PhD.
“Bagi baki 50 peratus kos, warga kerja Agrobank boleh memohon pembiayaan menerusi Staff Educational-i Financing Program.
“Pembiayaan yang ditawarkan ialah sehingga RM50,000 atau baki kos sebenar pengajian, mengikut mana-mana yang lebih rendah.
“Pelaksanaan program ini juga merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan bakat Agrobank bagi melahirkan warga kerja yang lebih kompeten, adaptif dan bersedia memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang,” katanya.
Dalam pada itu, pembiayaan tersebut dikenakan kadar keuntungan sifar peratus sepanjang tempoh pembiayaan, sekali gus tidak menambah beban kos ke atas baki yuran yang dibiayai.
Katanya, program ini terbuka kepada warga kerja yang melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana atau PhD, tertakluk pada syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Bank akan terus memperkukuh pembangunan modal insan melalui penyediaan peluang pembelajaran dan peningkatan kemahiran yang relevan dan usaha ini bertujuan membina tenaga kerja berkeupayaan tinggi dan berdaya tahan bagi menyokong mandatnya sebagai institusi kewangan pembangunan,” katanya. – UTUSAN











