
MEKAH: Keghairahan menunaikan haji membuka ruang kepada sindiket penipuan mengambil kesempatan memperdaya bakal jemaah menerusi tawaran pakej mahal kononnya boleh mempercepatkan kelulusan.
Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Anuar Ahmad berkata, selain itu, wujud dakwaan bayaran tinggi mampu meluluskan rayuan haji adalah tidak benar.
Katanya, ini memandangkan peluang tempat menunaikan ibadah haji bagi setiap rakyat Malaysia perlu mengikut sistem giliran dan kuota ditetapkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
“Selain itu, semua rayuan mesti melalui Tabung Haji dan tidak dipengaruhi oleh harga pakej. Ini antara taktik yang digunakan untuk mengelirukan orang ramai.
“Selepas diluluskan, barulah jemaah boleh membuat pilihan sama ada kekal dengan muassasah atau memilih pakej swasta,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Anuar, sikap tergesa-gesa dalam membuat keputusan menjadi antara faktor utama ramai menjadi mangsa penipuan.
“Walaupun pelbagai maklumat rasmi telah disalurkan, masih ada yang tidak menyemak terlebih dahulu dan akhirnya terjebak dengan skim tidak sah,” ujarnya.
Kata Anuar, sindiket menggunakan pelbagai helah termasuk promosi di media sosial, tawaran jalan pintas dan jaminan tempat haji tanpa melalui saluran sah.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya melakukan semakan memandangkan hanya 34 syarikat dilesenkan oleh Tabung Haji.
“Selain daripada senarai ini, bukan syarikat ejen haji yang sah. Semakan boleh dibuat melalui laman web rasmi, pusat panggilan atau pejabat Tabung Haji.
“Pastikan setiap tawaran haji datang daripada Tabung Haji sebelum membuat sebarang bayaran,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, mana-mana syarikat PJH yang gagal mematuhi syarat atau tidak menunaikan perkhidmatan seperti dijanjikan boleh dikenakan tindakan tegas. – UTUSAN











