Aminuddin dilantik Ketua Setiausaha KPT baharu

Aminuddin dilantik Ketua Setiausaha KPT baharu

Aminuddin Hassim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Dr. Aminuddin Hassim dilantik sebagai KSU Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baharu berkuat kuasa hari ini.

KPT berkata, pelantikan Aminuddin itu bagi menggantikan Datuk Dr. Anesee Ibrahim yang bersara wajib pada 9 Mei lalu selepas menamatkan khidmat bakti dalam memperkukuh agenda pendidikan tinggi negara.

Katanya, Aminuddin membawa pengalaman luas dalam memastikan kesinambungan pembangunan bakat negara dari pendidikan asas hingga ke peringkat pendidikan tinggi.

“Pengalaman tersebut amat signifikan dalam memastikan graduan institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta yang dilahirkan lebih berkualiti, kompetitif dan memenuhi aspirasi pembangunan negara.

“Selain itu, pengalaman beliau menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberikan kelebihan besar dalam merangka hala tuju penyelidikan dan pembangunan universiti serta memperkukuh ekosistem inovasi negara.

“Beliau juga pernah menjawat jawatan strategik sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), sekali gus membuktikan keupayaan kepimpinan rentas sektor yang luas dan berimpak tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

KPT berkata, Aminuddin memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1994 dan pernah berkhidmat di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Dari sudut akademik, katanya, Aminuddin memiliki Ijazah Doktor Falsafah dari York University, United Kingdom (UK) dalam bidang Ekonomi dan Pengurusan Alam Sekitar, Ijazah Sarjana dari University of Warwick dan Ijazah Sarjana Muda dari University of Central England.

“Gabungan pengalaman dalam pendidikan, inovasi, penyelidikan dan pentadbiran awam diyakini mampu menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

“KPT optimis kepimpinan beliau akan memacu transformasi pendidikan tinggi negara, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh daya saing IPT Malaysia di peringkat serantau dan global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN