KUANTAN: Kerajaan tidak menafikan berlaku masalah kepada negara kesan konflik ketenteraan melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel terutama membabitkan dari sudut ekonomi dan harga minyak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cabaran tersebut timbul apabila negara kuasa besar bertindak menyerang Iran tanpa adab dan perikemanusiaan sekali gus mencetuskan tindak balas yang menghancurkan kestabilan rantau berkenaan.
Kata beliau, tindakan zalim itu mengingatkan dunia kepada nasib rakyat Palestin di Gaza yang terus ditindas, tanah dirampas dan anak-anak kecil menjadi mangsa peperangan.
“Kita belajar bahawa manusia yang baik tidak boleh membiarkan kezaliman, penindasan dan rompakan berterusan. Bila ada serangan, pasti ada serangan balas. Akibatnya ekonomi dunia merudum dan harga minyak melambung tinggi,” katanya ketika berucap pada Himpunan Anak Pahang Madani 2026 di pekarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini, hari ini.
Anwar berkata, terdapat pihak yang kurang cerdik dan memahami isu global tersebut lalu menyalahkan Kerajaan Malaysia, sedangkan masalah itu berpunca daripada konflik antarabangsa yang tidak dapat dielakkan.
“Orang yang tidak membaca buku atau berita mudah menuding jari kepada kita. Ini bukan masalah Malaysia semata-mata, tetapi masalah dunia yang semakin dipolitikkan,” ujarnya.
Beliau berkata, Malaysia memasuki 2026 dengan asas ekonomi yang kukuh sepertimana ditegaskan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, yang menyatakan negara berada pada kedudukan baik untuk mendepani cabaran global.
Namun, katanya, peperangan tetap memberi kesan langsung kepada harga minyak.
“Bagaimanapun, RON95 di Malaysia masih antara paling rendah di dunia iaitu RM1.99 seliter. Ada negara jiran mencecah RM10 seliter. Kalau tanya saya, saya kata Alhamdulillah.
“Kita tidak menafikan wujud masalah (kesan perang) tetapi tetap berusaha membantu rakyat. Ada negara jiran sampai catuan minyak, malah lebih 400 stesen minyak ditutup. Di Malaysia, kita masih mampu bertahan,” katanya.
Beliau menekankan bahawa masalah kesan krisis tersebut perlu ditangani dengan mencari jalan penyelesaian bersama, bukan dengan menyalahkan pihak tertentu.
“Jangan boros, belanja lain boleh dibatalkan tetapi makan minum rakyat mesti dijaga. Nasib orang miskin mesti dibela,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan sentiasa berusaha memastikan rakyat tidak terbeban walaupun berdepan ketidaktentuan global.
“Kita akan terus melaksanakan dasar yang menjaga kepentingan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat agar lebih memahami isu antarabangsa dan tidak mudah terpengaruh dengan retorik politik sempit yang hanya menimbulkan salah faham. – UTUSAN










