Tun Ali ingatkan bersiap hadapi PRN Melaka

Tun Ali ingatkan bersiap hadapi PRN Melaka

MOHD. Ali Mohd. Rustam bersalaman dengan exco kerajaan negeri pada Perasmian Pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam meminta kerajaan negeri membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Mohd. Ali mengingatkan, semua pihak yang terlibat perlu memberi perhatian serius terhadap kelancaran proses pilihan raya, merangkumi urusan pengangkutan, penyediaan pusat mengundi, keselamatan serta pengurusan petugas agar perjalanan demokrasi dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.

“Setiap aspek persiapan termasuk logistik, keselamatan dan pelaksanaan pilihan raya hendaklah diuruskan dengan lancar, telus dan profesional.

“Nilai integriti perlu sentiasa dijunjung tinggi bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi terus terpelihara,” katanya ketika berucap sempena Perasmian Pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mohd. Ali turut mengingatkan bahawa PRN merupakan sebahagian proses demokrasi yang perlu dihormati semua pihak.

Beliau berkata, kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak keselamatan serta jentera pentadbiran amat penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaannya.

Beliau turut mengaitkan keperluan persiapan rapi memandangkan situasi geopolitik semasa di Asia Barat yang semakin tidak menentu.

Katanya, konflik melibatkan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran telah memberi kesan langsung kepada kestabilan global termasuk peningkatan kos tenaga, gangguan rantaian bekalan serta tekanan terhadap ekonomi.

“Keadaan ini menuntut kerajaan negeri untuk lebih bersiap siaga bukan sahaja daripada sudut ekonomi tetapi juga dalam memastikan kestabilan pentadbiran dan kelangsungan proses demokrasi berjalan dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN