KUALA LUMPUR: Warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diingatkan agar mengambil iktibar daripada kejadian kemalangan, terutama tragedi helikopter di Lumut yang meninggalkan kesan mendalam terhadap organisasi dan keluarga terlibat.
Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha berkata, peringatan itu penting kerana warga TLDM diamanahkan mengendalikan aset pertahanan negara bernilai tinggi.
“Kita perlu mengambil iktibar daripada insiden kemalangan kebelakangan ini yang memberi kesan besar kepada perkhidmatan dan keluarga terlibat.
“Ini mengingatkan bahawa kita diamanahkan mengendalikan aset pertahanan negara bernilai tinggi.
“Pelaburan kerajaan dalam aset pertahanan adalah wang rakyat yang mesti diurus dengan teliti demi menjamin keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran negara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Perutusan Timbalan Panglima Tentera Laut yang dibacakan oleh Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Muhamad Shakir Salleh sempena Hari TLDM ke-92 di KD Sri Gombak, di sini hari ini.
Pada 23 April 2024, dua buah helikopter milik TLDM dilaporkan bertembung di udara sebelum terhempas ketika melakukan raptai di kawasan Pangkalan TLDM Lumut.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika tujuh helikopter pasukan tersebut melakukan penerbangan bagi raptai sempena Hari Terbuka Armada TLDM Lumut yang akan diadakan pada 3 hingga 5 Mei 2024.
Tambah Badaruddin, sambutan tahun ini bertemakan “TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara” yang mencerminkan tekad warga TLDM untuk terus memperkasa angkatan bagi mempertahankan kedaulatan negara.
“Perutusan ulang tahun itu turut disampaikan serentak di semua markas formasi dan kapal TLDM di seluruh negara sebagai simbol semangat kebanggaan serta pengukuhan perjuangan The Navy People,” katanya. – UTUSAN










