KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengingatkan semua sekolah supaya merujuk keadaan cuaca dan suhu semasa sebelum melaksanakan sebarang aktiviti luar bagi mengelakkan risiko kepada murid dan pelajar.
Peringatan itu susulan kejadian melibatkan tiga murid dari sebuah daerah di negeri ini yang dilaporkan mengalami keletihan dan simptom dehidrasi selepas menyertai program merentas desa, semalam.
Kejadian tersebut berlaku ketika program berkenaan yang diadakan pada suhu sekitar 28 hingga 30 darjah Celsius dan semua aktiviti berakhir kira-kira pukul 10.30 pagi.
JPNT dalam satu kenyataan berkata, pengurusan sekolah itu mengambil tindakan segera dengan membawa murid terlibat ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.
“Sekolah juga telah memaklumkan perkara tersebut kepada ibu bapa murid yang terlibat bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, keadaan semua murid yang terlibat adalah stabil.
“Seorang murid menjalani pemeriksaan tanpa memerlukan rawatan lanjut manakala seorang lagi menerima rawatan dengan tiga botol air intravena sebelum dibenarkan pulang pada hari sama.
“Seorang lagi murid dipindahkan ke Hospital UIA Kuantan atas permintaan ibu bapa namun keadaannya dilaporkan sangat stabil,” jkatanya.
Susulan insiden itu, JPNT mengingatkan semua pentadbir sekolah supaya meningkatkan aspek keselamatan dalam pelaksanaan aktiviti luar bilik darjah.
Antara langkah yang perlu diberi perhatian adalaj menyediakan pasukan penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) atau St. John Ambulan bagi setiap program melibatkan murid dan guru.
Selain itu, pihak sekolah diminta sentiasa mematuhi peraturan serta merujuk siaran semasa berkaitan tahap cuaca dan suhu yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum melaksanakan sebarang aktiviti luar. – UTUSAN










