Terengganu harap Sukma 2026 diteruskan walaupun skala kecil

 Terengganu harap Sukma 2026 diteruskan walaupun skala kecil

HISHAMUDDIN ABDUL KARIM 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu berharap penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026 dapat diteruskan walaupun berdepan kekangan ekonomi semasa dengan mengesyorkan pelaksanaannya dibuat dalam skala lebih kecil.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya bagaimanapun menghormati sebarang keputusan untuk menangguhkan temasya sukan berkenaan.

Katanya, pandangan yang disuarakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung cadangan penangguhan susulan faktor ekonomi global termasuk krisis di Asia Barat wajar diteliti secara menyeluruh oleh pihak berkaitan.

“Isu ini melibatkan tuan rumah dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, jadi kita tidak wajar mencampuri urusan tersebut. Namun dari sudut kontinjen Terengganu, kita berharap penganjuran Sukma dapat diteruskan, mungkin dengan format lebih kecil seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menurut Hishamuddin, penganjuran Sukma perlu diteruskan memandangkan komitmen besar telah diberikan oleh atlet yang terlibat.

“Ada atlet yang menangguhkan pengajian dan pekerjaan demi memberi fokus kepada persiapan Sukma. Jika ia ditangguhkan lagi, sudah tentu memberi kesan besar kepada mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Majlis Sukan Negara Malaysia mempertimba penganjuran dalam skala lebih kecil serta meneliti aspek penjimatan lain tanpa menjejaskan objektif pembangunan sukan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN