Cik Bunga bukanlah mahu mencampuri urusan sesiapa, jauh sekali mahu menuding jari kepada mana-mana pihak.
Namun, apabila membabitkan nasib artis, terutama golongan veteran yang sudah lama menabur bakti dalam industri seni, hati Cik Bunga terusik. Ini berhubung sebuah pertandingan realiti yang berlangsung di kaca televisyen minggu lalu. Program sudah tamat. Tetapi biasalah, bak kata orang rumah sudah siap pahat berbunyi.
Persoalannya, tak akanlah langsung tiada sedikit ihsan buat mereka yang sudah bersusah payah menyertai program itu? Cik Bunga difahamkan, sebahagian peserta bukanlah datang dalam keadaan serba senang.
Ada berdepan pelbagai masalah, malah ada juga perlu mengeluarkan wang sendiri untuk hadir ke lokasi program.
Bayangkan, dalam keadaan kehidupan yang tidak stabil, mereka masih gagahkan diri datang kerana mahu memberi komitmen terhadap pertandingan.
Dalam pada itu, ada peserta yang terpaksa menolak tawaran pekerjaan lain semata-mata mahu memberi tumpuan kepada program berkenaan. Bukankah itu juga satu bentuk pengorbanan?
Jadi, Cik Bunga tertanya-tanya, adakah terlalu berat sekiranya peserta diberikan sedikit sumbangan wang tunai sepanjang menyertai program berkenaan? Bukanlah meminta mereka diberikan kemewahan.
Jangan pula kerana kamera sudah dimatikan, lampu pentas sudah dipadam dan program sudah melabuhkan tirai, nasib peserta terus dilupakan.
Cik Bunga faham, dunia hiburan memang penuh persaingan. Tetapi dalam mengejar rating, kandungan dan perhatian penonton, jangan sampai aspek kebajikan insan seni yang menjadi sebahagian daripada program itu terlepas pandang.
Apatah lagi, mereka ini bukannya baru semalam mengenal dunia seni. Ada yang sudah puluhan tahun menghiburkan masyarakat, mencurahkan tenaga, masa dan bakat untuk industri. Kalau pihak penganjur mampu menyediakan pelbagai keperluan untuk memastikan program itu berjalan lancar, Cik Bunga percaya, tentu boleh dicari sedikit ruang untuk memastikan peserta juga tidak terbeban.
Janganlah peserta hanya dilihat sebagai ‘wajah’ yang menghidupkan program. Cik Bunga percaya, kebajikan peserta bukan sesuatu yang sepatutnya dipandang sebelah mata.











