GUA MUSANG: Paras air Sungai Balar yang meningkat secara mendadak memaksa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim dan Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias terpaksa menggunakan jambatan gantung untuk ke SK Balar.
Ia susulan 15 trak pikap yang mereka naiki terkandas dan tidak dapat melintasi Sungai Balar akibat paras air meningkat petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu menyaksikan peserta Program Literasi Pendaftaran sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara Peringkat Negeri Kelantan terpaksa berjalan kaki kira-kira 20 minit.
Mohd. Syahbuddin berkata, beliau bersama Badrul Hisham terpaksa menggunakan jambatan gantung untuk ke sekolah berkenaan.
“Para peserta program turut sama berjalan kaki disebabkan trak pikap terkandas akibat air sungai naik mendadak,” katanya.
Sementara itu, seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda, Mohd. Arifuddin Azahari, 37, berkata, peserta terbabit terpaksa menggunakan jambatan gantung untuk menyeberangi sungai sebelum meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki atau menumpang kenderaan pacuan empat roda lain.
Katanya, sebahagian peserta yang berjalan kaki sudah tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda terpaksa menunggu sehingga paras air surut yang dijangka sekitar pukul 11 malam ini.
“Keadaan air sungai agak besar dan kami tidak berani mengambil risiko untuk meredah sungai kerana bimbang akan keselamatan peserta serta kenderaan.
“Kami terpaksa menunggu sejak lebih dua jam lalu sehingga paras air surut sebelum dapat meneruskan perjalanan. Buat masa ini, kami hanya boleh menunggu dan memantau keadaan sungai,” ujarnya.-UTUSAN











