Suspek tembak mati tiga individu kerana hutang RM50,000

Suspek tembak mati tiga individu kerana hutang RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Lelaki warga emas yang menembak mati tiga mangsa di sebuah restoran di Taman Kota Jaya di sini semalam, dipercayai berbuat demikian kerana marah selepas mangsa enggan membayar hutang berjumlah RM50,000.

Difahamkan, salah seorang mangsa iaitu wanita asing berkenaan meminjam wang daripada suspek untuk membuka perniagaan kedai makanan.

Namun, apabila suspek meminta wanita tersebut memulangkan kembali wang berkenaan, mangsa berkeras tidak mahu berbuat demikian sebelum meminta bantuan dua lelaki lain untuk membantunya sehingga menyebabkan berlaku perselisihan faham antara mereka.

Suspek yang berang kemudian bertindak mengambil senapang patah di dalam kenderaannya sebelum menembak mati ketiga-tiga mangsa berusia antara 37 hingga 63 tahun.

Salah seorang saksi kejadian memberitahu, dia menyangkakan bunyi letupan kuat berkenaan adalah bunyi mercun atau pihak berkuasa sedang menembak gagak di kawasan berhampiran.

Menurut wanita yang enggan dikenali itu, kejadian tersebut berlaku pada waktu tengah hari ketika dia sedang bekerja menyiapkan tempahan makanan di kedai.

“Selepas dengar bunyi tembakan saya keluar melihat apa yang berlaku dan mendapati lelaki tersebut sedang memegang senjata dan telah menembak mati beberapa orang di dalam kedai berkenaan.

“Suspek seorang yang dikenali di kawasan tersebut selain turut merupakan salah seorang pelanggan yang kerap datang makan di kedai mangsa. Saya difahamkan selepas kejadian itu dia pergi berehat di kedai lain sambil memberitahu orang ramai dia telah membunuh orang,” katanya kepada pemberita, di sini.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun bersama senapang patah dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, tiga mangsa yang maut melibatkan dua lelaki tempatan dan seorang wanita asing berusia antara 37 hingga 63 tahun, manakala suspek mempunyai lesen sah untuk memiliki senjata api tersebut.

“Polis tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada masalah hutang peribadi. Suspek akan dipohon reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN