Suami isteri tuntut pembelaan kematian bayi 8 bulan

Suami isteri tuntut pembelaan kematian bayi 8 bulan

AISYAWATI Isa dan Mohamad Zaerwafar Che Mat Zaidin tidak dapat menahan sebak ketika menunjukkan barangan bayi mereka yang meninggal dunia ketika di bawah jagaan pengasuh di Taman Sri Wang Fasa 1, Arau, Perlis semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sepasang suami isteri dari Taman Sri Wang Fasa 1 di sini menuntut pembelaan penuh susulan kematian bayi perempuan mereka berusia lapan bulan yang meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan seorang pengasuh pada 15 April lalu.

Aisyawati Isa, 34, bersama suaminya, Mohamad Zaerwafar Che Mat Zaidin, 34, meminta agar siasatan terperinci dijalankan berhubung kematian anak mereka, Aufa Zayyana Mohamad Zaerwafar, yang disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital.

Menurut Aisyawati, pada hari kejadian, anaknya berada dalam keadaan sihat dan ceria seperti biasa sebelum dihantar ke rumah pengasuh. Namun, sekitar jam 5.20 petang, dia menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan bayi tersebut tidak sedarkan diri.

“Apabila saya sampai ke rumah pengasuh yang hanya lima minit dari rumah, saya lihat dia sudah tidak sedarkan diri dan seperti mengalami sawan. Kami terus membawanya ke unit kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF),” katanya.

Keadaan bayi berkenaan dilaporkan kritikal sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar bagi menjalani pembedahan akibat pendarahan beku di kepala. Selepas seminggu bertarung nyawa, Aufa Zayyana disahkan meninggal dunia di HSB dan kemudian dikebumikan di Jeli, Kelantan.

Aisyawati berkata, anaknya baru sebulan berada di bawah jagaan pengasuh tersebut dan tidak pernah menunjukkan sebarang tanda-tanda tidak sihat sebelum kejadian.

“Setiap hari saya menghantarnya sekitar pukul 6.45 pagi dan mengambilnya semula antara 5.15 hingga 5.20 petang. Semuanya kelihatan normal sehinggalah hari kejadian,” katanya.

Mohamad Zaerwafar berkata, keluarga melantik peguam bagi mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes bayinya itu.

Katanya, pengasuh terlibat memaklumkan bayi mereka hanya menangis sebelum tiba-tiba tidak sedarkan diri pada hari kejadian

“Laporan polis dibuat pada hari sama dan kami akan menye­rahkan beberapa bukti penting bagi membantu siasatan. Kami berharap keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pengasuh tersebut ditahan pada 16 April lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis manakala siasatan masih dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×