SUNGAI PETANI: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat kemunculan khas apabila tampil buat pertama kali sebagai pelakon dalam sebuah filem yang bakal menemui penonton Julai ini.
Beliau berkata, penglibatannya dalam filem berkenaan hanya membabitkan watak sebagai seorang panglima yang memberi semangat kepada pesilat dalam menghadapi pertarungan.
Katanya, watak itu membawa elemen kepahlawanan Melayu yang diinspirasikan daripada semangat perjuangan tokoh silam untuk membangkitkan motivasi dalam kalangan anak muda.
“Ini pengalaman baharu dalam hidup saya dan watak sebagai seorang panglima yang datang memberi semangat kepada pesilat-pesilat, termasuk seorang pesilat yang akan bertarung dengan jaguh dari luar negara.
“Semangat kepahlawanan Hang Tuah yang dijelmakan dalam filem ini membawa peranan sebagai pencetus semangat untuk anak-anak muda dan untuk tahu lebih lanjut jom tengok saya berlakon,” katanya pada majlis pelancaran poster, teaser dan trailer The Keris, semalam.
Mengulas pengalaman pertamanya berlakon, Muhammad Sanusi mengakui ia bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan penghayatan watak yang mendalam.
Katanya, beliau menerima tawaran itu kerana watak dilakon seiring dengan minatnya untuk mengangkat seni dan budaya Melayu, khususnya seni silat.
“Berlakon ini susah kerana pelakon perlu menghayati skrip dan watak tetapi saya boleh walaupun ada sedikit kekok. Saya terima tawaran ini secara percuma kerana berkaitan dengan pahlawan Melayu dan kalau filem lain saya mungkin tak berminat,” katanya.
Beliau berkata, medium perfileman boleh dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej positif kepada generasi muda selain memperkenalkan warisan budaya negara.
Selain itu, katanya, pembabitan kru daripada pelbagai kaum dan latar belakang serta penekanan terhadap budaya Melayu menjadikan filem itu unik dan berpotensi menarik perhatian penonton.
“Banyak pengaruh datang daripada filem, termasuk yang negatif jadi kita gunakan platform ini untuk membawa mesej positif kepada generasi akan datang. Saya harap filem ini berjaya dan mendapat sambutan penonton di seluruh negara,” katanya.
Mengulas kemungkinan untuk terus berlakon, beliau berkata, hanya bersedia mempertimbangkan tawaran sekiranya diberikan watak yang sesuai.
“Kalau ada watak yang baik, saya sedia pertimbangkan kerana kehidupan kita ini pun seperti pementasan, cuma bezanya tanpa skrip,” katanya. – UTUSAN.










