KANGAR: Penyertaan semula bekas ahli atau pemimpin UMNO ke dalam parti itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa terus bertambah saban hari.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, Rumah Bangsa gagasan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sangat memberi kesan ke arah memperkukuhkan parti.
Katanya, kejayaan inisiatif tersebut diharap dapat menutup luka lama dan membuka buku baharu bagi mewujudkan kebersamaan kembali di dalam parti.
“Inisiatif Rumah Bangsa telah membuka ruang seluasnya kepada bekas ahli parti tanpa sebarang syarat. Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga telah kembali bersama UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa dan yang lain-lain secara berperingkat.
“Kita buka buku baharu dan wujudkan kebersamaan kembali untuk masuk semula ke Putrajaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini melaporkan, beberapa tokoh politik utama termasuk bekas menteri dan pemimpin yang telah menyertai parti lain selepas dipecat atau digantung daripada UMNO menunjukkan minat kembali menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Fathul Bari yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, UMNO perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bagi mengelak jatuh ke dalam lubang sama berkali-kali.
“Kita pernah merasai kemanisan kemenangan dan kepahitan kekalahan, jadi kita tidak mahu berkali-kali jatuh dalam lubang sama. Namun itu juga tidak menafikan kebarangkalian untuk kita menang semula dengan situasi kelemahan pentadbiran kerajaan negeri masa kini,” katanya. – UTUSAN










