KUALA LUMPUR: Hasrat lebih 10 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang untuk kembali menyertai UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa terhalang oleh Akta Anti-Lompat Parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, minat untuk kembali itu wujud dalam kalangan wakil rakyat terbabit, namun peruntukan undang-undang menjadi kekangan utama.
Katanya, kumpulan berkenaan terdiri daripada Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang termasuk yang pernah dipecat serta bertanding menentang Barisan Nasional (BN).
“Terdapat sedikit halangan melibatkan mereka yang berjawatan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN berikutan kewujudan Akta Anti-Lompat Parti.
“Namun, saya boleh katakan kebanyakan mereka amat berminat untuk menyertai kembali UMNO menerusi Rumah Bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Konsultasi Awam Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) berhubung Rang Undang-Undang Majlis Amanah Rakyat 2026 (RUU Mara 2026), hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, pihaknya turut mengadakan beberapa siri pertemuan menerusi Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi mendapatkan maklum balas semua pihak terlibat.
“Ya, kita ada beberapa siri perjumpaan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Khaled. Sebenarnya kita bertemu dengan semua dan itu maklum balas yang kita terima,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kemasukan ahli di peringkat akar umbi dan penyokong ke dalam UMNO menerusi Rumah Bangsa berlaku secara berterusan dan dalam jumlah yang besar.
Katanya, setiap hari parti menerima kemasukan baharu daripada bahagian-bahagian, selain Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) turut mengarahkan semua bahagian mengambil inisiatif secara proaktif.
“Jangan tunggu mereka datang, sebaliknya kita sendiri perlu mengambil inisiatif proaktif.
“Pendekatan itu juga selaras dengan sikap Presiden UMNO yang berlapang dada termasuk terhadap pihak yang pernah mengkritik dan memfitnah beliau sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










