Rumah Bangsa tarik minat 10 Ahli Parlimen, ADUN

Rumah Bangsa tarik minat 10 Ahli Parlimen, ADUN

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: 10 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang berminat untuk kembali menyertai UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa, namun hasrat itu berdepan kekangan susulan Akta Anti-Lompat Parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kebanyakan wakil rakyat terbabit menunjukkan minat untuk kembali bersama UMNO, namun perkara itu terhalang oleh peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, kumpulan berkenaan terdiri daripada Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang termasuk mereka yang pernah dipecat serta bertanding menentang Barisan Nasional (BN).

“Terdapat sedikit halangan melibatkan mereka yang berjawatan sebagai Ahli Parlimen dan ADUN berikutan kewujudan Akta Anti-Lompat Parti.

“Namun, saya boleh katakan kebanyakan mereka yang berstatus Ahli Parlimen dan ADUN amat berminat untuk menyertai kembali UMNO menerusi Rumah Bangsa.

“Lebih daripada 10 orang itu termasuk ADUN. Itu sahaja kekangan kepada mereka yang berstatus Ahli Parlimen dan ADUN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Konsultasi Awam Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) berhubung Rang Undang-Undang Majlis Amanah Rakyat 2026 (RUU MARA 2026), semalam.

Menurut Asyraf Wajdi, pihaknya turut mengadakan beberapa siri pertemuan menerusi Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi mendapatkan maklum balas semua pihak terlibat.

“Ya, kita ada beberapa siri perjumpaan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Khaled. Sebenarnya kita bertemu dengan semua dan itu maklum balas yang kita terima,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kemasukan ahli di peringkat akar umbi dan penyokong ke dalam UMNO menerusi Rumah Bangsa berlaku secara berterusan dan dalam jumlah yang besar.

Katanya, setiap hari parti menerima kemasukan baharu daripada bahagian-bahagian, selain Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) turut mengarahkan semua bahagian mengambil inisiatif secara proaktif.

“Jangan tunggu mereka datang, sebaliknya kita sendiri perlu mengambil inisiatif proaktif.

“Pendekatan itu juga selaras dengan sikap Presiden UMNO yang berlapang dada termasuk terhadap pihak yang pernah mengkritik dan memfitnah beliau sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN