PETALING JAYA: Kerajaan berjaya memulihkan aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah kira-kira RM31.2 billion iaitu hampir 70 peratus daripada keseluruhan aset yang telah dikenal pasti.
Pencapaian itu disifatkan signifikan dan menjadi rujukan serta penanda aras di peringkat antarabangsa dalam usaha pemulihan aset hasil jenayah kewangan berskala besar.
Terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, empat karya seni bernilai tinggi telah berjaya dibawa pulang dan kini ditempatkan dengan selamat di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Menurut kenyataan SPRM, karya-karya tersebut merupakan sebahagian daripada aset yang dipulihkan susulan penyelewengan dana 1MDB.
“Nilai keseluruhan karya seni ini dianggarkan sebanyak kira-kira RM786,556.25 (AS$198,125) melibatkan hasil karya artis terkenal dunia,” menurut kenyataan itu.
Kata SPRM, antara karya yang berjaya dipulihkan ialah Composition (1953) oleh Joan Miró, Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934) oleh Maurice Utrillo, Etude pour femme couchée (1948) oleh Balthus serta L’Ecuyere et les clowns (1961) oleh Pablo Picasso.
Jelasnya, kesemua karya seni berkenaan kini ditempatkan di lokasi khas dengan kawalan keselamatan ketat selain melalui proses penstabilan persekitaran (acclimatisation) bagi memastikan pemeliharaan optimum.
“Karya tersebut juga akan melalui proses pembukaan, pengesahan dan penilaian oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN),” katanya.
Dalam pada itu, SPRM berkata, pemulangan karya seni berkenaan bukan sahaja mencerminkan kejayaan berterusan Malaysia dalam mendapatkan semula aset yang diseleweng malah memperkukuh kedudukan negara dalam pelaksanaan amalan terbaik pemulihan aset di peringkat global.
“Setiap pemulihan aset membuktikan tiada ruang selamat bagi hasil jenayah untuk disembunyikan walaupun melibatkan rangkaian kewangan rentas sempadan yang kompleks,” katanya.
SPRM turut menegaskan, akan terus memperkukuh usaha pengesanan dan pemulihan aset secara agresif serta strategik bagi memastikan setiap aset yang diperoleh secara tidak sah dapat dikembalikan kepada negara demi kepentingan rakyat. – UTUSAN










