ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak tuntutan ganti rugi lebih RM3 juta difailkan bapa bekas pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang meninggal dunia didakwa akibat renjatan elektrik di asrama universiti itu, empat tahun lalu.
Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee dalam penghakimannya berkata, plaintif gagal membuktikan bahawa renjatan elektrik merupakan punca kematian utama Vinosiny R. Sivakumar yang ketika itu berusia 21 tahun.
Beliau berkata, plaintif amat bergantung kepada laporan bedah siasat yang disediakan pegawai perubatan (SP1) yang merumuskan punca kematian akibat renjatan elektrik berdasarkan penemuan histopatologi dan kesan kecederaan pada buku lali si mati.
“Bagaimanapun, semasa pemeriksaan balas, penemuan SP1 mempunyai kelemahan asas apabila mengakui beliau telah membentuk pendapat awal kemungkinan renjatan elektrik pada 22 Mei 2022 iaitu sebelum melawat lokasi kejadian atau menyelesaikan siasatan,” katanya.
Hakim Mohamad Johan berkata, SP1 turut mengakui tidak menjalankan ujian forensik penting seperti ujian metalisasi.
“Beliau juga bersetuju bahawa ciri histopatologi yang disandarkan iaitu pemanjangan nuklear bukanlah khusus untuk renjatan elektrik semata-mata dan boleh berlaku akibat trauma lain seperti lecuran haba. SP1 juga mengakui beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang elektrik,” katanya.
Tambahnya, si mati turut didapati menghidap penyakit fibrosis miokardium yang meningkatkan risiko aritmia yang boleh membawa maut.
“SP1 mengakui kesimpulan renjatan elektrik berkemungkinan berlaku apabila buku lali si mati tersentuh palang besi di bawah meja. SP1 secara jelas mengakui tiada kaitan renjatan elektrik daripada lampu dinding seperti didakwa dalam kes plaintif, selain palang besi itu hanya konduktor dan tidak boleh menjadi punca elektrik dengan sendirinya.
“Oleh kerana SP1 gagal mengenal pasti punca kebocoran elektrik, kesimpulan beliau kekal andaian semata-mata. Tambahan pula, defendan mengemukakan keterangan bebas yang meyakinkan daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) yang menjalankan ujian menyeluruh dan merumuskan tiada kebocoran elektrik serta peranti keselamatan berfungsi dengan baik,” katanya.
Hakim Mohamad Johan berkata, tuntutan plaintif untuk ganti rugi khas, am dan teruk ditolak disebabkan liabiliti tidak berjaya dibuktikan dan beliau turut membenarkan kos ganti rugi berjumlah RM5,000 dibayar kepada pihak defendan.
UUM selaku defendan diwakili peguam, P. Barvina dan Y. Sathisharajah, sementara plaintif diwakili M. Manoharan dan M. Hariharan.
Pada 28 Februari 2024, R. Sivakumar selaku plaintif menamakan UUM sebagai defendan susulan kematian anaknya, Vinosiny menerusi writ saman difailkan firma guaman, Tetuan M. Manoharan & Co di Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Mengikut penyataan tuntutan difailkan bersama writ itu, Sivakumar berkata, anaknya ditemui terbaring tidak bernyawa di lantai bilik itu pada 21 Mei 2022 dan siasatan dibuat polis serta bedah siasat dijalankan pegawai perubatan ke atas mayat pelajar itu menyimpulkan bahawa punca kematian adalah renjatan elektrik.
Sementara itu, Manoharan yang ditemui selepas prosiding menyatakan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu esok.-UTUSAN










