PETALING JAYA: Rakyat Malaysia berhak mempunyai sebuah institusi pencegahan rasuah yang benar-benar bebas serta berpegang kepada undang-undang tanpa dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, tuntutan terhadap sistem yang lebih telus dan adil perlu terus disuarakan bagi memastikan usaha membanteras rasuah tidak terhenti.
Katanya, rakyat tidak seharusnya berputus asa walaupun perjuangan menegakkan integriti dalam institusi negara bukan sesuatu yang mudah dan mengambil masa.
“Kita tetap terus mendesak kerana rakyat Malaysia berhak kepada sebuah badan pencegah rasuah yang tunduk kepada undang-undang, bukan kepada yang berkuasa, bukan kepada jaringan kepentingan dan bukan kepada sesiapa yang namanya disiasat.
“Meskipun usaha ini tidak pernah mudah, tidak pernah singkat, tetapi percayalah, ia tidak pernah sia-sia,” katanya kenyataan hari ini.
Bermula 13 Mei ini, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim
Nurul Izzah berkata, pelantikan Ketua Pesuruhjaya yang baharu melalui peruntukan Perlembagaan dengan peranan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri membuka ruang kepada pembaharuan dalam institusi tersebut.
“Namun, beban tanggungjawab semata-mata tidak akan menggerakkan perubahan. Yang menggerakkannya adalah keberanian. Yang menggerakkannya adalah iltizam. Yang menggerakkannya adalah rakyat,” katanya.
Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk terus memainkan peranan dalam menyuarakan kemarahan terhadap rasuah dan ketidakadilan.
“Jangan berpaling. Jangan biarkan detik ini berlalu begitu sahaja. Teruslah melibatkan diri.
“Kerana perubahan tidak berlaku ke atas kita, ia berlaku kerana kita, insya-Allah. Semoga Malaysia terus teguh mendepani cabaran zaman,” katanya.











