PETALING JAYA: Dakwaan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik, Sabah kini menjadi milik Indonesia adalah tidak benar, sebaliknya terus berada di dalam wilayah Malaysia.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo berkata, laporan media daripada negaranya itu adalah tidak benar.
Menurut beliau, kawasan itu masih berstatus grey area dan perbincangan bagi menetapkan status sebenar pulau berkenaan masih belum diputuskan.
“Itu berita yang belum dipastikan lagi, tidak ada (kepastian) tentang perkara tersebut. Memang (terdapat perkara) yang sudah dipersetujui tetapi tidaklah menyerahkan kawasan 127.3 hektar (ke Indonesia), itu masih grey area, jadi berita itu tidak betul.
“Kedutaan Indonesia ke Malaysia masih sedang semak lagi kerana sekarang banyak teknologi kecerdasan buatan (AI) (yang boleh mengelirukan dan palsu). Ia adalah perkara yang dibuat-buat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mohammad Iman berkata, pihaknya kini masih menunggu arahan daripada kerajaan Indonesia sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Belum ada arahan lagi, cuma apa yang saya boleh (sahkan), berita itu adalah tidak benar dan palsu untuk saat ini. Kami juga sedang tunggu arahan daripada pusat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Staf Presiden (KSP) Indonesia, M Qodari, memaklumkan bahawa kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia, kini sah menjadi milik Indonesia.
Qodari dipetik berkata, perubahan itu adalah hasil diplomasi berhubung penyelesaian sempadan darat antara Indonesia dengan Malaysia.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini dilaporkan turut menafikan dakwaan kawasan berkenaan menjadi milik Indonesia.
Beliau berkata, laporan berkaitan dakwaan itu seperti disiarkan media tempatan di negara jiran sebagai tidak tepat, di samping tidak mencerminkan hasil sebenar rundingan berkaitan sempadan di antara Malaysia dan Indonesia.
Tegasnya, Malaysia sebenarnya lebih untung dalam rundingan sempadan membabitkan dua negara terbabit. – UTUSAN










