PM arah semua acara kerajaan dilaksana secara sederhana

PM arah semua acara kerajaan dilaksana secara sederhana

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua acara berkaitan kerajaan perlu dilaksanakan secara sederhana bagi mengurangkan tekanan ekoran keadaan ekonomi yang sedang dihadapi global termasuk Malaysia.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu merupakan arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ia susulan beberapa perkara berkait kepada makluman yang diberikan serta perbincangan-perbincangan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Perdana Menteri telah menegaskan supaya segala acara rasmi, bengkel dan aktiviti-aktiviti besar yang dilaksanakan oleh kementerian, agensi serta badan-badan berkanun atau
syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) Harus pada skala sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri turut menyentuh isu berkait program Kampung Angkat Madani dan meminta program itu diselaras dengan rapi.

“Ini supaya ia difahami bahawa program itu adalah usaha di peringkat Persekutuan dan diselaras dengan ahli-ahli Parlimen dari kalangan penyokong kerajaan ataupun backbenchers,” katanya.

Katanya, mesyuarat Kabinet pada hari ini turut dimaklumkan mengenai pencapaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata, pemilihan NADI sebagai salah satu daripada International Telecommunication Union Digital Transformation Center (ITUDCT) turut dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut membangkitkan hasrat supaya pusat-pusat komuniti desa di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diselaraskan.

“Ia akan diselaraskan aktiviti bersama dengan NADI di bawah MCMC dalam masa yang tidak terlalu lama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN