Pesawah tiga negeri tangguh tanam padi

Pesawah tiga negeri tangguh tanam padi

SEORANG pesawah mengakui kenaikan diesel memberi tekanan kepada mereka untuk memulakan kerja-kerja menanam padi bagi musim baharu di Tumpat, Kelantan. -UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Pesawah di Kelantan tidak menolak kemungkinan menangguhkan penanaman padi berikutan kenaikan mendadak harga diesel dan cuaca kemarau yang menjejaskan operasi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pesawah, Mohd Faisal Mohd Noor berkata, kebanyakan pengusaha kini tidak lagi mampu menampung kos bahan api yang terus meningkat.

“Jika kenaikan terus berlaku, pilihan yang ada buat kami ialah ‘berehat’ buat sementara waktu.

“Hal ini kerana semua jentera dan peralatan pertanian bergantung sepenuhnya kepada penggunaan diesel,” katanya.

Katanya, kos membajak kini meningkat kepada RM260 berbanding RM170 bagi keluasan 0.4 hektar, sekali gus membebankan pesawah kecil.

Selain itu, upah mengetam turut meningkat sebanyak RM7 bagi setiap 85 kilogram padi, berbanding kadar sebelum ini.

TIDAK MAMPU TAMPUNG KOS OPERASI

Pengerusi Persatuan Pesawah-Pesawah Kelantan (Pesak), Zuha Ismail berkata, kenaikan harga diesel mencecah RM6.02 seliter menyebabkan petani tidak mampu menampung kos operasi kerana semua aktiviti pertanian bergantung sepenuhnya kepada diesel termasuk membajak, menuai dan mengangkut hasil ke pusat jualan.

Di LANGKAWI, lebih 1,000 pesawah di pulau ini turut berkemungkinan menangguhkan aktiviti penanaman padi musim ini yang dijadualkan bermula bulan depan berikutan kenaikan kos penanaman sehingga 40 peratus susulan peningkatan harga diesel.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi, Hassim Saad berkata, jika proses penanaman diteruskan, pesawah akan menanggung kerugian akibat ketiadaan subsidi diesel bagi kegunaan jentera pertanian.
Beliau berkata, sebelum ini harga diesel sekitar RM3.92 seliter namun kini meningkat kepada lebih RM6, sekali gus menjadikan kos jentera bagi setiap relung padi meningkat daripada RM180 kepada RM450.
Menurutnya, terdapat lebih 1,000 pesawah berdaftar mengusahakan kira-kira 1,700 hektar sawah di kawasan berkenaan.
Sementara itu, pesawah muda, Amirudin Abdul, 40, berkata beliau berdepan kerugian sekiranya hasil padi kurang daripada satu tan metrik.
Katanya, jika hasil sekitar satu tan metrik, pendapatan hanya kira-kira RM250 selepas ditolak kos diesel, manakala jika hasil hanya 750 kilogram, beliau akan menanggung kerugian sekitar RM150.
Di ARAU, penanaman padi musim baharu yang sudah bermula di Perlis mungkin terpaksa ditangguhkan ekoran kebanyakan pesawah sudah tidak mampu menanggung kesan kenaikan harga diesel dan cabaran kekurangan sumber bekalan air.

Seorang pesawah, Zamzuri Ishak, 42, berkata, musim baharu tanaman padi ketika ini sehingga Mei depan sukar untuk dilaksanakan ekoran cuaca panas dan kemarau masih berlarutan.

Zamzuri berkata, kesan kenaikan harga diesel tersebut menyebabkan pesawah berdepan peningkatan kos operasi sehingga 50 peratus.

“Kita bimbang pesawah selepas ini akan mengusahakan tanaman padi sekali sahaja setahun. Kos untuk sediakan tapak sebelum proses tabur benih kini sudah menelan belanja RM1,400 sehektar berbanding sebelum kenaikan harga diesel iaitu sekitar RM900.

“Jika tanaman padi semusim sahaja setahun selepas ini, hasil pengeluaran padi khususnya di Perlis bakal berkurangan sehingga 50 peratus.

“Hasil pengeluaran padi di Perlis semusim yang direkodkan sebelum ini adalah sebanyak 154,975,325 tan metrik yang turut membantu menyumbang kira-kira 11 peratus kepada pengeluaran beras negara. Jika setahun hanya semusim, makin berkuranganlah pengeluaran hasil padi dan beras negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebagai rekod, tanaman padi bagi musim ini bermula bagi fasa satu pada 15 April, diikuti fasa dua (29 April) dan fasa tiga pada 13 Mei.

MASALAH SUMBER AIR BERLARUTAN

Zamzuri yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 15 hektar berkata, dia juga berkemungkinan menangguhkan tanaman musim ini jika masalah sumber air masih berlarutan.

Katanya, kaedah tabur terus kering yang disarankan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sukar dilaksanakan kerana ia terdedah kepada banyak risiko, terutama membabitkan ancaman padi angin, rumpai serta serangan perosak seperti burung, tikus dan cengkerik.

“Kaedah tabur terus kering ini sebenarnya tetap memerlukan air untuk mencambahkan benih. Kos operasi juga akan meningkat dengan kaedah ini, manakala hasil pula dijangka tidak seberapa.

“Jika hendak laksanakan juga musim tanaman kali ini adalah lebih baik tunggu hujan dan bekalan air daripada pihak berkaitan selepas keadaan empangan sudah stabil,” katanya.

Kaedah tabur terus kering pernah dilaksanakan pada 1987, 1991, 1992 serta 1993 ketika kawasan utara berhadapan musim panas melampau dan ia pernah dicadangkan pelaksanaan pada tahun 2017 dan 2020, namun tidak diteruskan selepas hujan turun di kawasan tanaman.

TANAM PADI LIMA KALI DUA TAHUN SUKAR

Dalam pada itu, hasrat ke arah tanaman padi lima kali dua tahun terutama di negeri-negeri pengeluar utama makanan ruji itu semakin sukar dilaksanakan kesan daripada kenaikan berterusan harga diesel serta cabaran kekurangan sumber bekalan air itu.

“Melihat kepada situasi sekarang, hasrat untuk melaksanakan penanaman padi lima kali dua tahun sudah boleh dilupakan,” kata Zamzuri.

Di ALOR SETAR pula, petani di kawasan MADA enggan meneruskan kaedah tanam padi secara tabur terus kering (TTK) kerana dianggap berisiko tinggi dan tidak berbaloi dalam keadaan cuaca tidak menentu.

Pengerusi Badan Bertindak Petani kawasan MADA, Che Ani Mat Zain berkata pesawah lebih rela menunggu hujan serta bekalan air stabil berbanding mengambil risiko menggunakan kaedah berkenaan.

Katanya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mengesyorkan kaedah tanaman itu turut meramalkan hasil padi diperoleh lebih rendah sekitar empat tan.

“Kaedah ini juga terdedah kepada ancaman padi angin, rumpai serta serangan perosak seperti burung, tikus dan cengkerik selain kos operasi akan meningkat tetapi hasil tidak seberapa.

“Jadi, mengapa pesawah nak ambil risiko tanam juga, lebih baik kita tunggu hujan,” katanya.

MADA sebelum ini menyarankan agar penanaman padi bagi Musim 1/ 2026 dilaksanakan secara TTK di sawah seluas 100,641 hektar berikutan cuaca panas dan musim kemarau yang masih melanda Kedah.

Tambah Che Ani, meskipun hanya TTK alternatif yang ada buat masa ini, namun ia tetap tidak berbaloi kepada pesawah melaksanakannya.

“Pesawah di Kedah misalnya, perlu mendapat hasil bersih sekurang-kurangnya 1.6 tan per relung (0.3 hektar) untuk memperoleh pendapatan yang tidak seberapa sebenarnya.

“Katakan harga padi RM2,000 per tan, dengan hasil 1.6 tan itu seorang pesawah mungkin mendapat sekitar RM3,200 serelung dan setelah tolak kos sebanyak RM2,600 hanya tinggal RM600 untuk mereka.

“Lebih baik kerajaan salurkan RM600 itu kepada pesawah tanpa perlu mengerjakan sawah kerana hasilnya tidak berbaloi untuk kita meneruskan tanaman secara TTK pada musim panas ini,” katanya.

MADA pernah melakukan kaedah TTK sebanyak enam kali iaitu sepenuhnya pada 1987 dengan hasil 2.3 tan sehektar; 1991 (3.5 tan sehektar); 1992 (3.1 tan hektar) dan 1993 (3.9 tan sehektar) yang mana ketika itu turut berdepan musim panas di negeri ini.

Pada 2017 dan 2020, TTK tidak diteruskan kerana berlaku hujan dengan hasil masing-masing 5.98 dan 5.96 tan per hektar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN