PETALING JAYA: Sektor padi negara akan kekal berdaya maju sekiranya golongan pesawah mampu memperoleh pendapatan yang munasabah daripada hasil yang diusahakan dan bukannya terus bergantung kepada bantuan subsidi.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, pesawah kini semakin tertekan dengan jumlah pendapatan diterima mereka yang disifatkan tidak seimbang berbanding peningkatan dalam kos pengeluaran.
Katanya, kos membajak, meratakan sawah, menuai, input pertanian dan racun semakin meningkat selain hasil tanaman turut menunjukkan trend penurunan.
“Kalau kerajaan mahu pesawah terus kekal dalam sektor padi, mereka perlu mampu memperoleh kehidupan yang munasabah daripada hasil sawah, bukan bergantung semata-mata kepada subsidi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, jumlah pesawah di Malaysia menurun daripada 348,266 orang pada tahun 2018 kepada 230,119 orang pada 2023, iaitu penyusutan 33.9 peratus, manakala kadar sara diri (SSL) beras turut merosot daripada 68 peratus kepada 56.2 peratus dalam tempoh sama.
Pengeluaran beras tempatan turut menurun daripada 1.474 juta tan metrik pada 2019 kepada 1.362 juta tan pada 2024 manakala import meningkat daripada 890,100 tan metrik kepada 1.5 juta tan dalam tempoh sama.
Menurut Abdul Rashid, pendapatan tidak menentu itu menyebabkan golongan muda semakin kurang berminat menjadi pesawah selain mereka perlu berdepan risiko cuaca, penyakit dan kos kerja sawah yang tinggi.
Katanya, pesawah berusia antara 15 hingga 30 tahun dianggarkan kurang daripada lima peratus manakala sebahagian besar pesawah kini berusia lebih 50 tahun.
“Kalau trend ini berterusan, negara bukan sahaja kehilangan tenaga kerja dalam sektor padi, malah turut kehilangan kapasiti pengeluaran padi tempatan,” katanya.
Abdul Rashid sehubungan itu mencadangkan kerajaan menstabilkan kos operasi membajak dan menuai, selain menilai semula harga lantai padi berdasarkan kos pengeluaran semasa serta memastikan bantuan input seperti baja diterima tepat pada masanya.
Beliau turut mencadangkan skim perlindungan sosial khusus untuk pesawah dan memastikan tanah yang sesuai untuk tanaman padi dikekalkan sebagai aset pengeluaran makanan negara bagi menjamin keterjaminan bekalan beras. – UTUSAN











