Perlu ada peraturan lebih ketat kawal kutipan derma NGO - PM

Perlu ada peraturan lebih ketat kawal kutipan derma NGO – PM

anwar
ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu peraturan lebih ketat terhadap mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan amal yang menjalankan kutipan derma awam bagi mengelak berlaku penyelewengan.

Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu dilaksana susulan semakin banyak kepincangan dan penyalahgunaan wang derma dilapor, termasuk oleh pihak yang menggunakan nama Islam.

“Banyak NGO guna nama Islam, kutip dana puluhan juta dan kata nak bantu rakyat Palestin tetapi akhirnya belanjakan harta itu. Sekarang kita dengar kutipan dana khairat dan sebagainya tetapi beli kemudahan peribadi.

“Jadi, harus ada peraturan lebih ketat kawal perbelanjaan mana-mana badan kebajikan, khairat, amanah atau yayasan yang kutip derma tetapi seleweng, nak kata rasuah bukan kerana mereka kutip derma secara sah, ada sijil.

“Ada NGO kutip derma RM100 juta, tetapi bantuan yang sampai hanya RM20 juta, selebihnya RM80 juta diambil sebagai kos operasi,” katanya semasa sesi dialog pada program Sesi Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Institut Pendidikan Guru (IPG) Temenggong Ibrahim, di sini hari ini.

Tambah Anwar, kerajaan akan memastikan perkara tersebut diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan dana-dana awam yang dikutip melalui derma tidak disalahgunakan.

Sementara itu, beliau turut menggesa golongan muda di negara ini agar celik geopolitik dan memahami realiti semasa sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan krisis global yang semakin mencabar.

Katanya, situasi tidak menentu ketika ini menuntut rakyat khususnya generasi muda untuk lebih peka dan berpengetahuan, agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang tersebar di media sosial.

“Anak-anak muda mesti faham fakta dan realiti semasa. Jangan hanya bergantung kepada maklumat singkat tanpa penelitian, sebaliknya dalami isu termasuk geopolitik kerana ia memberi kesan langsung kepada negara.

“Sikap cepat menghukum atau membuat kesimpulan berdasarkan maklumat singkat adalah tidak sihat dan boleh merosakkan keharmonian masyarakat. Ini bukan tanda kematangan atau keilmuan, kita mahu generasi yang berfikir, meneliti dan mempunyai adab dalam berbeza pandangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN