Pelabur asing teruskan jualan bersih RM36.9 juta minggu lalu

Pelabur asing teruskan jualan bersih RM36.9 juta minggu lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabur institusi asing di Bursa Malaysia meneruskan aliran jualan bersih bagi minggu kedua berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar sebanyak RM36.9 juta minggu lalu, menurut MBSB Research.

Berdasarkan data aliran dana mingguan, pelabur asing merupakan penjual bersih dalam dua daripada lima hari dagangan sepanjang minggu tersebut, dengan aliran keluar terbesar direkodkan pada hari Isnin sebanyak RM128.7 juta, diikuti hari Rabu sebanyak RM88.0 juta.

“Bagaimanapun, pasaran turut menyaksikan aliran masuk asing pada tiga hari dagangan lain, dengan kemasukan tertinggi dicatatkan pada hari Khamis sebanyak RM93.3 juta, diikuti Jumaat (RM43.8 juta) dan Selasa (RM42.8 juta),” katanya dalam nota penyelidikan.

Dari segi sektor, produk dan perkhidmatan perindustrian mencatatkan aliran masuk asing tertinggi sebanyak RM129.7 juta, diikuti sektor perkhidmatan kewangan (RM85.7 iuta) dan tenaga (RM23.8 juta).

“Sebaliknya, sektor pengangkutan dan logistik merekodkan aliran keluar terbesar sebanyak RM151.2 juta, diikuti produk dan perkhidmatan pengguna (RM90.9 juta) dan pembinaan (RM53.7 juta),” katanya. 

Selain itu, institusi tempatan terus menyokong pasaran apabila melanjutkan aktiviti belian bersih kepada dua minggu berturut-turut dengan aliran masuk sebanyak RM534.2 juta.

“Pelabur runcit pula kekal sebagai penjual bersih bagi minggu kedua berturut-turut dengan aliran keluar sebanyak RM497.4 juta,” katanya.

Sementara itu, purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan prestasi bercampur apabila dagangan runcit meningkat 11.2 peratus manakala institusi tempatan dan asing masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 0.3 peratus dan 4.3 peratus. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN