ALOR SETAR: Kerajaan digesa meneliti semula kaedah penetapan harga bahan api susulan perkembangan semasa yang menunjukkan ketegangan geopolitik dunia semakin reda dan harga minyak mentah global mulai menurun.
Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Keusahawanan Pas, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, keadaan itu sepatutnya membuka peluang kepada kerajaan untuk menilai kembali dasar harga bahan api bagi memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup.
Menurut beliau, sebelum ini rakyat sering diminta memahami kenaikan harga minyak dengan alasan kerajaan terpaksa mengikut perkembangan pasaran global.
“Tetapi bila tekanan perang mula reda dan ada ruang untuk harga diturunkan, kerajaan tiba-tiba menjadi lambat, kaku dan seribu alasan. Rakyat akhirnya melihat dengan jelas iaitu yang cepat hanyalah alasan, bukan tindakan.
“Lebih menyakitkan, negara jiran seperti Thailand sekurang-kurangnya menunjukkan kesungguhan politik untuk campur tangan bagi mengurangkan tekanan rakyat, walaupun mereka sendiri berdepan cabaran fiskal dan pasaran tenaga.
“Malangnya, kerajaan seolah-olah mahu rakyat menanggung derita, sementara mereka sibuk menjual naratif yang semuanya masih terkawal. Hakikatnya, yang terkawal hanyalah retorik, bukan kos hidup rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, harga diesel ditetapkan RM6.72 seliter apabila berlaku kenaikan 70 sen untuk bahan api itu di Semenanjung Malaysia, sementara harga RON97 berharga RM5.35 seliter susulan kenaikan 40 sen, manakala RON95 tanpa subsidi RM4.27 seliter.
Haim Hilman yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah berkata, kenaikan harga bahan api bukan sahaja memberi kesan kepada kos pengangkutan, malah turut mempengaruhi harga makanan, kos logistik serta operasi perniagaan kecil.
Katanya, situasi tersebut akhirnya memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
“Rakyat tidak marah semata-mata kerana harga minyak tetapi setiap kali minyak naik, seluruh rantaian hidup rakyat ikut terbakar di mana tambang meningkat, harga makanan melonjak, peniaga kecil tersepit, anak muda ikat perut dan keluarga B40 dipaksa memilih antara keperluan dengan kelangsungan.
“Malah, yang sakit bukan sekadar angka di stesen minyak, tetapi maruah hidup rakyat yang makin dihimpit hari demi hari. Lebih malang, kerajaan gagal memberi keyakinan bahawa mereka benar-benar berada di pihak rakyat,” katanya. – UTUSAN










