Ariff Zulkarnain ibarat penembak tepat – Syafiq Kyle - Utusan Malaysia

Ariff Zulkarnain ibarat penembak tepat – Syafiq Kyle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Syafiq Kyle menyifatkan pengarah, Ariff Zulkarnain sebagai seorang ‘penembak tepat’ kerana kebolehannya menghasilkan karya yang mempunyai mesej jelas serta tepat mengenai isu yang mahu diketengahkan.

Menurut Syafiq, kelebihan itu dapat dilihat menerusi filem Baga: Esok Untuk Siapa yang pada zahirnya mengetengahkan isu penyalahgunaan dadah, namun sebenarnya membawa mesej lebih mendalam mengenai kehidupan dan percintaan.

“Kalau kita mengenali Ariff Zulkarnain, kita akan faham mengapa orang suka menonton karya arahannya. Bagi saya, dia ibarat penembak tepat kerana setiap karyanya tepat mengenai isu yang mahu disampaikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mungkin daripada luar, Baga kelihatan seperti filem mengenai dadah, tetapi sebenarnya ia berkisar tentang kesempitan hidup, keputusan yang dibuat seseorang dan tema utamanya adalah cinta.

“Sebagai pembikin filem, saya percaya Ariff sudah memikirkan bagaimana mahu mempersembahkan cerita ini supaya mampu menarik perhatian penonton,” katanya ketika ditemui di sesi temubual bersama media untuk filem Baga: Esok Untuk Siapa, Khamis lalu.

Syafiq berkata, penggunaan isu berat seperti dadah, pembunuhan, rompakan dan rasuah merupakan antara pendekatan yang mampu menarik minat penonton untuk menyaksikan sesebuah filem.

Bagaimanapun, penerbit filem itu menyifatkan elemen tersebut tidak semestinya menjadi fokus utama sesebuah karya, sebaliknya boleh digunakan sebagai medium untuk menyampaikan mesej yang lebih besar.

“Kalau kita fikirkan, apakah antara elemen yang boleh menarik perhatian penonton untuk menonton filem? Mungkin isu dadah, pembunuh bersiri, rompakan atau rasuah.

“Semua itu boleh menjadi tarikan awal. Saya rasa Ariff sangat bijak dalam membungkus cerita ini supaya mampu mencetuskan rasa ingin tahu penonton.

“Sejak awal lagi, filem ini sudah mencetuskan perhatian Lembaga Penapis Filem (LPF) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Jadi, saya berharap ia juga mampu mencetuskan minat penonton untuk mengetahui kisah sebenar yang mahu disampaikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, pelakon filem Sheriff: Narko Integriti tersebut berharap penonton menghayati mesej tersirat yang disampaikan menerusi perjalanan watak dan konflik dalam filem berkenaan.

“Kalau sebelum masuk ke pawagam penonton menyangka Baga hanya mengenai dadah, saya berharap apabila mereka keluar nanti, ada lebih banyak perkara yang dapat mereka fahami dan renungkan.

“Bagi saya, itulah objektif sesebuah filem. Tidak semestinya apabila kita menonton filem gembira, kita hanya memperoleh pengajaran yang menggembirakan.

“Kadang-kadang, filem yang sedih juga boleh memberikan sesuatu yang positif kerana kita dapat mengaitkannya dengan kehidupan sendiri. Itu antara elemen yang saya lihat ada dalam Baga,” tegasnya.

Sementara itu, Syafiq tidak menafikan bahawa usaha memasarkan filem yang mengetengahkan isu berat seperti Baga mempunyai cabaran tersendiri, namun optimis kekuatan penceritaan Ariff mampu menarik perhatian penonton.

“Memang susah hendak menjual filem seperti ini. Tetapi saya percaya apabila orang sudah menonton karya Ariff, kekuatan promosi dari mulut ke mulut akan membantu menarik lebih ramai penonton.

“Tambahan pula, media sosial sekarang mempunyai pengaruh yang besar dalam mempromosikan sesebuah karya,” katanya.

Filem yang mengangkat Amir Ahnaf dan Amirah Razak sebagai teraju utama naskhah itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini