MINDEF jamin siasatan telus kes komando di Mersing

MINDEF jamin siasatan telus kes komando di Mersing

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (Mindef) memberi jaminan siasatan berhubung insiden melibatkan seorang anggota komando di Kem Iskandar, Mersing akan dilaksanakan secara telus.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak kementerian memandang serius laporan yang timbul berhubung kes tersebut.

Katanya, siasatan lanjut kini dalam perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan sewajarnya.

“Dimaklumkan bahawa kes ini kini dalam perhatian pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut sewajarnya, melibatkan dua anggota yang dipercayai terlibat.

“Kementerian menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota komando cedera parah ketika berada di sebuah kem tentera di Johor.

Mangsa dikenali sebagai Abdul Hamid Talib, 25, merupakan anggota Rejimen 22 Komando yang bertugas di Kem Iskandar, Mersing dan berasal dari Bum Bum, Semporna, Sabah.

Tambahnya, Tentera Darat Malaysia (TDM) turut menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden tersebut dan laporan hasil siasatan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Katanya, sebarang tindakan lanjut terhadap anggota yang terlibat akan diputuskan berdasarkan dapatan siasatan berkenaan.

“Kementerian juga memaklumkan bahawa keadaan anggota yang terjejas terus dipantau rapi. Mangsa kini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sedang menjalani rawatan pemulihan di bawah pemantauan pihak perubatan.

“Kementerian Pertahanan komited memastikan kes ini ditangani secara telus, adil dan mengikut lunas undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN