PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bakal memperoleh aset pesawat tempur ringan (LCA) FA-50M buatan Korea Selatan kini menghantar enam juruterbang bagi menjalani latihan penerbangan intensif bersama tentera udara negara tersebut.
Latihaan tersebut yang diadakan selama 15 minggu sejak 26 Januari hingga 8 Mei dilaksanakan di Pangkalan Udara Pejuang Ke-16 ROKAF menjelang penerimaan dua buah pesawat pertama pada Oktober 2026, dengan selebihnya akan diterima secara berperingkat.
TUDM yang berkongsi maklumat itu di laman facebook rasmi memaklumkan, program itu diatur khusus bagi memastikan
membabitkan pembelajaran teori asas, latihan simulator dan penerbangan sebenar menggunakan pesawat T-50 dan TA-50.
Program itu diatur khusus bagi memastikan juruterbang negara mahir dalam mengendalikan sistem pesawat keluarga T-50 sebelum ketibaan pesawat FA-50M yang bakal menyertai inventori TUDM tidak lama lagi.
“Sepanjang tempoh berkenaan, kumpulan juruterbang elit TUDM ini diwajibkan untuk menguasai sistem pesawat secara mendalam sebelum mengharungi 18 sesi simulator yang berkonsepkan persekitaran latihan realistik.
“Bagi memantapkan lagi kemahiran, mereka turut melaksanakan 13 penerbangan latihan (sortie) yang merangkumi manuver ruang udara; penerbangan berpandukan instrumen; penerbangan secara formasi dan operasi penerbangan malam,” katanya.
Menurutnya, program itu bukan sahaja memfokuskan kepada kemahiran teknikal penerbangan, malah menekankan pembangunan keupayaan operasi taktikal.
“Dengan bimbingan kepakaran juruterbang ROKAF, wira-wira udara negara turut didedahkan kepada doktrin penerbangan taktikal dan pengalaman operasi yang telah dibangunkan oleh Korea Selatan sejak sekian lama.
“Sebaik sahaja fasa latihan pesawat T-50 tamat, keenam-enam juruterbang akan mengorak langkah ke fasa Lead-In Fighter Training (LIFT) di Pangkalan Udara Pejuang Pertama ROKAF.
“Fasa kedua ini akan menggunakan pesawat varian TA-50 Block 2, di mana tumpuan utama diberikan kepada pembentukan kemahiran tempur udara ke udara dan udara ke darat dalam persekitaran yang jauh lebih kompleks,” katanya.
Perolehan pesawat FA-50M ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan pelan pembangunan keupayaan jangka panjang atau Capability Development Plan 2055 (CAP55) Fasa 1 TUDM bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
Pada tahun 2023, Kementerian Pertahanan Malaysia memeterai kontrak dengan Korea Aerospace Industries (KAI) bagi perolehan 18 buah pesawat FA-50M LCA/FLIT untuk kegunaan TUDM. – UTUSAN










