Di sebalik ribut kencang isu integriti yang membadai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) menandakan bermulanya satu era baharu dalam sejarah keselamatan dan pertahanan negara.
Buat pertama kalinya sejak merdeka, Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) melalui Bahagian Industri Pertahanan (BIP) telah melancarkan satu dokumen dasar yang boleh dianggap bersifat revolusioner, bukan sahaja dari sudut pembangunan industri pertahanan tempatan, tetapi lebih penting lagi dari perspektif integriti ketenteraan dan kedaulatan keselamatan negara.
Setelah sekian lama ATM bergantung pada sistem dan aset ketenteraan dari luar negara, DIPN menetapkan satu hala tuju strategik yang berani untuk menebus kembali autonomi pertahanan negara, sekali gus menutup ruang kompromi terhadap integriti institusi ketenteraan.
Secara statistiknya, hampir 90 peratus daripada sistem dan aset ketenteraan ATM pada hari ini dibina dan dibekalkan oleh syarikat pengeluar asal (OEM) dari negara-negara kuasa besar.
Kebergantungan yang terlalu tinggi ini bukan sekadar isu teknikal atau ekonomi, tetapi juga isu integriti strategik, kerana ia membuka ruang kepada rasuah berprofil tinggi, tekanan politik, sekatan alat ganti, manipulasi kontrak, serta konflik kepentingan dalam proses perolehan pertahanan.
Sebagai contoh, Tentera Darat Malaysia mengoperasikan pelbagai aset utama yang diimport dari satu negara iaitu Poland, termasuk kereta kebal PT-91M keluaran Bumar Labedy, WZT-4 armoured recovery vehicle, MID-M armoured engineering tank, dan sistem UAV FlyEye.
TUDM pula bergantung kepada platform dari Rusia, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Korea Selatan, manakala TLDM mengoperasikan kapal LMS buatan China serta kapal selam Scorpene dari Perancis.
Kepelbagaian sumber ini sering dipersembahkan sebagai kelebihan strategik, namun tanpa tadbir urus dan integriti yang kukuh, ia boleh berubah menjadi liabiliti keselamatan nasional. Hal ini demikian kerana tanpa pemantauan khusus seperti digariskan dalam DIPN, terdapatnya ruang dan peluang korupsi disebabkan oleh perbezaan nilai pertukaran mata wang serta sistem kewangan dan pembiayaan yang mempunyai kelompangan dari segi aspek ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Realiti geopolitik kontemporari memberikan pengajaran yang amat kritikal kepada negara bukan kuasa besar seperti Malaysia bahawa kebergantungan melampau terhadap aset pertahanan kuasa besar tanpa integriti tadbir urus yang kukuh bukan sekadar risiko strategik, tetapi satu bentuk penggadaian keselamatan negara.
Kes Ukraine membuktikan bagaimana pergantungan pasca runtuhnya Kesatuan Soviet terhadap sistem legasi Rusia telah mewujudkan kerentanan struktur apabila konflik berskala besar tercetus sejak 2022.
Wilayah Donbas dan Timur Ukraine seperti Donetsk dan Luhansk akhirnya menjadi medan perebutan kuasa yang menelan kos kedaulatan yang sangat tinggi. Begitu juga pengalaman Syria dan Venezuela yang menunjukkan bahawa kebergantungan pertahanan tanpa integriti institusi, ketelusan perolehan, dan autonomi teknologi telah mempercepatkan kemerosotan keupayaan mempertahankan negara.
Dalam kesemua situasi ini, kegagalan integriti dalam tadbir urus pertahanan telah membawa implikasi strategik yang bersifat eksistensial terhadap kelangsungan negara.
Begitu juga dengan negara-negara sekutu Barat seperti Israel, Taiwan, Korea Selatan dan Singapura yang menzahirkan hubungan langsung antara integriti industri pertahanan dan daya tahan keselamatan negara.
Israel, meskipun menerima bantuan ketenteraan tahunan yang besar daripada Amerika Syarikat, tetap menegaskan kemandirian industri pertahanannya melalui syarikat seperti Elbit Systems dan Israel Aerospace Industries (IAI) yang beroperasi di bawah piawaian profesionalisme dan akauntabiliti yang tinggi.
Korea Selatan pula muncul sebagai antara pengeksport senjata utama dunia sambil membangunkan pesawat tempur KF-21 Boramae sebagai simbol keupayaan nasional. Singapura melalui ST Engineering pula konsisten membina teknologi pertahanan sendiri dengan penekanan ketat terhadap ketelusan dan tadbir urus.
Dalam semua kes ini, satu elemen utama yang jelas ialah integriti, ketelusan dan profesionalisme bukan aksesori, tetapi teras kepada pembinaan industri pertahanan yang tidak menggadaikan keselamatan negara.
Dalam konteks Malaysia, kebimbangan awam terhadap rekod lampau industri pertahanan tempatan adalah wajar dan tidak boleh dipandang remeh.
Episod hitam projek New Generation Patrol Vessel (NGPV) dan Littoral Combat Ship (LCS) bukan sekadar kegagalan projek, tetapi kegagalan integriti sistemik yang memberi kesan langsung kepada kesiapsiagaan tempur TLDM. Dalam kes NGPV, daripada 27 platform yang dirancang, hanya enam unit diterima.
Projek LCS pula menyaksikan lebih RM6 bilion dibelanjakan sejak 2013 tanpa satu pun kapal diserahkan. Kegagalan ini memperlihatkan bagaimana kelemahan tadbir urus, konflik kepentingan, dan pengawasan yang longgar boleh menggadaikan keselamatan negara.
Namun demikian, DIPN menunjukkan pengajaran daripada kegagalan lalu telah diambil serius. Fokus Strategik Pertama DIPN—Memperkukuh Tadbir Urus—secara jelas meletakkan mekanisme pemantauan, audit, dan pengawasan pengawalseliaan sebagai teras utama dasar. Sebuah Jawatankuasa Pemantauan Tadbir Urus yang bebas untuk mengaudit proses, memastikan pematuhan dan memberikan cadangan akan ditubuhkan di bawah DIPN.
Selain itu, inisiatif DIPN ini turut mengukuhkan Platform Tadbir Urus Digital, dengan memusatkan data perolehan dan pematuhan untuk akses awam bagi meningkatkan ketelusan.
Semoga pelaksanaan DIPN ini tidak akan hanya meningkatkan industri pertahanan tempatan, tetapi juga integriti sektor pertahanan negara.
Dr. Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Pengajian Pertahanan Universiti Kebangsaan Malaysia-Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (UKM-MPAT).










