Malaysia sedia salur bahan api ke Australia selepas keperluan domestik dipenuhi – PM

Malaysia sedia salur bahan api ke Australia selepas keperluan domestik dipenuhi – PM

ANWAR Ibrahim bersama Anthony Albanese pada sidang akhbar di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengutamakan keperluan domestik dalam isu bekalan tenaga dan bahan api terutama diesel ketika negara berdepan cabaran bekalan dalam jangka sederhana.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun, Malaysia memberi jaminan dan komitmen penuh untuk memberi keutamaan kepada Australia jika terdapat lebihan bekalan selepas keperluan domestik dipenuhi.

Kata beliau, perkara itu berdasarkan jaminan yang diberikan oleh Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) untuk mempertimbangkan keperluan untuk menyalurkan bahan api ke Australia atas dasar rundingan dan persahabatan.

“Saya telah menyuarakan kebimbangan kita mengenai isu diesel kerana bekalan kita tidak mencukupi dalam jangka sederhana.

“Namun dari segi bahan api, kita telah menerima jaminan daripada Petronas bahawa selepas keperluan domestik dipenuhi, memang terdapat lebihan bekalan. Kita juga telah diberikan jaminan bahawa keutamaan akan diberikan kepada Australia,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese di Kompleks Perdana Putra, di sini hari ini.

Anwar berkata, beliau percaya perkara ini tentunya boleh menjadi isu yang sangat sensitif dalam perdebatan politik di negara ini, apabila dikatakan memberi keutamaan kepada negara lain.

“Namun, sebenarnya tidak begitu. Keutamaan sudah tentu adalah keperluan domestik serta ketahanan ekonomi negara.

“Tetapi di sinilah peranan rundingan dan pertemuan antara sahabat menjadi sangat penting,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, terdapat beberapa barangan dan mineral yang Malaysia perlukan yang mana negara mengimport gas dan LNG dari Australia.

“Mereka telah memberi jaminan untuk membekalkan serta menunaikan komitmen dan perjanjian yang telah dimeterai.

“Jadi, kita juga perlu memastikan bahawa keperluan mereka, di luar apa yang mampu kita sediakan, turut dipenuhi dengan baik. Itulah maksud sebenar sebuah persahabatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN